Budak dua tahun ditemui merayau-rayau sendirian

MIRAMAR, 29 JULAI – Tiga adik-beradik memandu dari Alabama ke Florida Selatan untuk bersatu semula dengan anak saudara mereka yang berusia dua tahun, yang ditemui pada pagi Ahad merayau-rayau sendirian di tempat letak kereta sebuah pangsapuri.

Mereka bertemu dengan detektif di Jabatan Polis Miramar dalam harapan untuk mengetahui sebab-sebab Kamdyn Cavett sendirian dan apa yang berlaku kepada ibunya yang berusia 21 tahun, Leila Cavett.

“Kami mahu tahu sama ada adik kami selamat,” beritahu Gina Lewis kepada wartawan semalam. “Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku.”

Cavett tinggal di Atlanta, sementara keluarganya yang lain tinggal di Jasper, Alabama, yang terletak di barat laut Birmingham dan kira-kira 800 batu dari Miramar.

Keluarganya berkata Cavett tidak mempunyai kenalan di Florida Selatan. Mereka terdesak untuk mendapatkan jawapan.

“Jika kamu selamat, tolong beritahu sesiapa,” kata Lewis. “Dia tidak akan meninggalkan anaknya begitu sahaja.”

Budak lelaki itu ditemui pada pukul 8 pagi oleh Ebony Williams, yang memberitahu polis beliau telah keluar untuk minum kopi dan ternampak budak itu apabila pulang. Apabila beliau sedar budak lelaki itu, yang hanya memakai kemeja-T dan lampin, sendirian, beliau berjalan di sekitar kawasan itu mencari ibu bapanya. Kemudian beliau menghubungi polis. – AP