Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budak jadi cacat setelah didenda 1,000 ketuk ketampi

    SHANDONG, 12 NOV – Seorang budak lelaki Cina berusia 13 tahun disahkan menghidap rhabdomyolysis, satu keadaan yang mengancam nyawa selepas dihukum melakukan 1,000 ketuk ketampi semasa kem musim panas.

    Oddity Central melaporkan Puan Lu dari Jining, Wilayah Shandong, yang juga ibu kepada budak lelaki tersebut baru-baru ini mendedahkan kisah tragis bagaimana anak lelakinya mengalami hukuman yang mengancam hidupnya menyebabkan dia hilang upaya seumur hidup.

    Semuanya berlaku pada musim panas lalu apabila budak lelaki itu didaftarkan menyertai kem 7 hari di mana dia boleh berinteraksi dengan kanak-kanak lain dan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

    Segala-galanya baik-baik saja sehingga hari graduasi apabila ibu bapa menerima gambar dari majlis di sana memaparkan anak mereka kelihatan mata merah dengan wajah yang sedih.

    Bapanya pula perasan bahawa sebelah kaki budak itu kelihatan lembik, tetapi apabila mereka bertanya kepada penganjur kem tentang keadaanya, mereka diberitahu semuanya baik-baik saja.

    Apabila mereka pergi menjemputnya barulah mereka menyedari betapa seriusnya keadaan itu. Anak lelaki mereka berusia 13 tahun sedang menunggu mereka di atas bangku kerana dia hampir tidak boleh berdiri.

    Setelah menyoal anaknya, kedua ibu bapa itu mengetahui bahawa sebelum tamat pengajian, salah seorang guru menghukumnya 1,000 ketuk ketampi kerana bercakap dengan kanak-kanak lain semasa latihan.

    Selepas mencapai bilangan 200, dia rebah di atas tanah kerana kesakitan otot. Guru itu tidak menolongnya bahkan menendangnya dan membiarkannya kesakitan di atas lantai.

    Dia hanya dibantu dan duduk di atas bangku apabila majlis graduasi bermula serta ibu bapa sudah mula tiba.

    Ketika budak itu mengadu sakit teruk, bapanya meminta salah seorang guru kem untuk menemaninya ke Hospital Rakyat Daerah Jiaxiang untuk memeriksa keadaannya. Hospital berkenaan mengatakan bahawa dia hanya mengalami ketegangan otot dan diberi sedikit ubat sapu.

    Bagaimanapun pada hari-hari berikutnya, kaki budak lelaki itu sangat sakit sehingga tidak boleh berjalan dan sukar tidur pada waktu malam.

    Jadi ibu bapanya membawanya ke Hospital Gabungan Kolej Perubatan Jining di mana doktor mendiagnosisnya menghadapi rhabdomyolysis, suatu keadaan yang mengancam nyawa biasanya disebabkan oleh senaman intensiti tinggi dalam tempoh yang singkat.

    Ia menyebabkan kerosakan pada otot rangka dengan cepat dan sekiranya tidak dirawat boleh menjejaskan hati dan buah pinggang.

    Dalam kes budak lelaki ini, keadaannya sangat serius sehingga doktor segera meletakkannya di atas kerusi roda.

    Selepas 13 hari dirawat di hospital berkenaan, dia dibenarkan keluar tetapi tidak pulih sepenuhnya. Kini berusia 14 tahun, budak lelaki yang namanya dirahsiakan itu masih tidak dapat menjalani kehidupan normal, dan kemungkinan besar tidak akan dapat melakukan sebarang aktiviti fizikal yang serius. Otot kakinya kini mengalami atrofi dan turut mengalami kerosakan hati dan buah pinggang.

    Puan Lu berkata berikutan insiden tersebut, mereka cuba berdepan dengan penganjur kem mengenai penderaan fizikal yang dialami anak mereka.

    Walaupun penganjur menafikan sebarang kesalahan pada mulanya, mereka mengakuinya apabila kanak-kanak lain mula menyokong cerita budak berkenaan.

    Selepas rundingan, persetujuan dicapai antara ibu bapa dan penganjur kem untuk menjalani prosedur undang-undang yang kini sedang dijalankan. – Agensi

    Gambar Freepik
    Mangsa ketika menerima rawatan. – Oddity Central

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda