Oleh Radiatul –
Cerita ini bermula pada waktu senja, sewaktu matahari baru sahaja terbenam dan langit mula menggelap dengan cahaya jingga.
Radi sedang memandu bersama anaknya, Adzril yang berusia dua tahun, melalui kawasan Damuan, sebuah kawasan yang terkenal dengan kisah-kisah misteri yang seram dan mistik.
Ketika itu, Adzril yang duduk di tempat duduk belakang, kelihatan gembira, menyanyi-nyanyi dengan riang. Suaranya yang kecil dan mendayu membawa sedikit keceriaan di dalam kereta yang dipenuhi dengan senja yang kelam.
Tiba-tiba, nyanyian Adzril terhenti. Adzril yang tadinya penuh dengan keceriaan, terus terdiam. Wajahnya tiba-tiba menjadi serius dan matanya memandang ke arah satu sudut di dalam kereta.
“Mama… ada cingcong (pocong),” teriak Adzril seakan menangis, sambil menunjuk ke arah ruang kosong di sebelahnya.

Radi yang asyik memandu, sedikit terkejut mendengar kata-kata anaknya dan cuba mengawal ketakutannya, tetapi hatinya berdegup kencang.
Dia melihat ke arah belakang melalui cermin pandang, namun tidak ada apa-apa yang kelihatan.
Radi meneruskan memandu walau perasaannya sedikit terganggu.
“Adzril, cakap apa tadi?” Radi bertanya dengan suara lembut, cuba menenangkan anaknya, walaupun hatinya terasa berdebar.
Adzril tetap memandang ke arah ruang kosong itu, matanya tidak beralih sedikit pun.
“Cingcong duduk sini, Mama,” katanya sekali lagi menunjukkan arah pocong tersebut.
Radi menarik nafas panjang, berusaha menenangkan diri dengan hati-hati dan kemudian berbicara kepada Adzril.
“Adzril, kalau ada cingcong di situ, suruh dia jangan ganggu kita, ya?” Radi berkata sambil menggenggam stereng dengan lebih erat, memusatkan perhatian pada jalan.
Adzril mengangguk perlahan dan dalam keadaan cemas itu, dia menoleh ke arah ruang kosong sekali lagi dan berkata, “Cingcong, jangan kacau kami, ya.”
Namun, Adzril yang mula tidak selesa akhirnya merayu, “Mama, Adzril nak duduk depan.”
Radi yang semakin berasa tidak enak, segera memperlahankan keretanya dan dengan berhati-hati memindahkan Adzril ke kerusi penumpang depan.
Setelah beberapa ketika, mereka akhirnya keluar dari kawasan Damuan dan suasana dalam kereta kembali tenang. Adzril yang sebelum ini cemas, kini terlelap dengan nyenyak di kerusi depan. Radi menarik nafas lega, namun pengalaman malam itu tetap menghantui fikirannya. Dia tahu, kisah misteri tentang Damuan bukan hanya legenda dan kadangkala ada yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi wujud dalam dunia yang berbeza.