WASHINGTON, 16 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengecam pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki Muslim berusia enam tahun sebagai ‘perbuatan kebencian yang mengerikan’ kelmarin, selepas pihak berkuasa mendakwa pembunuh itu dengan kesalahan membunuh dan jenayah kebencian dalam serangan yang didakwa berkaitan dengan perang antara Israel dan Hamas.
Kanak-kanak tersebut ditikam sebanyak 26 kali oleh tuannya pada Sabtu dan kemudian meninggal dunia di hospital, manakala ibunya berusia 32 tahun juga cedera tetapi selamat, kata pejabat syerif Will County, di Illinois dalam satu kenyataan.
“Detektif dapat menentukan bahawa kedua-dua mangsa dalam serangan kejam itu telah menjadi sasaran suspek kerana mereka beragama Islam dan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Hamas dan Israel,” kata pejabat syerif itu, menambah bahawa pembunuhan itu berlaku kira-kira 64 kilometer dari barat Chicago.
Biden, dalam satu kenyataan lewat kelmarin, mengesahkan bahawa wanita itu adalah ibu kanak-kanak lelaki itu dan berkata ‘keluarga Palestin Muslim datang ke AS mencari apa yang kita semua cari, tempat perlindungan untuk hidup, belajar dan beribadah dengan aman’.
“Perbuatan kebencian yang mengerikan itu tidak ada tempatnya di AS dan bertentangan dengan nilai-nilai asas kita,” tambah Biden, mengajak rakyat AS untuk ‘bersatu dan menolak anti-Islam dan segala bentuk prejudis dan kebencian.’ – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/10/P12-C-WEB-AP_17102023.jpg)