WASHINGTON, 28 NOV – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun terbunuh di Minnesota, akibat tembakan oleh seorang remaja yang sedang merakam video media sosial dengan rakannya, kata polis.
Polis berkata, insiden tembakan itu berlaku pada Khamis, yang pada kebiasaannya adalah sambutan Hari Kesyukuran, namun turut menyaksikan satu lagi kejadian berasingan membabitkan kanak-kanak lima tahun yang maut dalam satu lagi insiden tembakan di Atlanta.
Dalam insiden di Minnesota, kanak-kanak lelaki lima tahun itu berada di sebuah rumah, di mana beberapa remaja sedang membuat video, kata polis melalui Facebook.
Apabila seorang remaja berusia 13 tahun melepaskan tembakan, kanak-kanak itu terkena tembakan itu dan terbunuh. Polis di pinggir bandar Brooklyn Park berkata, siasatan awal mereka mendapati tembakan itu adalah satu kemalangan, namun remaja yang melepaskan tembakan itu ditahan dan kini berada di pusat tahanan juvana.
Dalam kes berasingan, seorang kanak-kanak perempuan terbunuh dalam insiden tembakan di pinggir bandar Atlanda, South Fulton, selepas mangsa mencapai pistol di atas kerusi dan senjata itu kemudian meletup. – AFP