BEIJING, 5 Feb – Seorang budak perempuan berusia 13 tahun terbunuh selepas terhumban keluar dari permainan yang bergerak laju di taman hiburan di barat daya China.
Pengatur keselamatan produk China berkata dalam satu kenyataan lewat semalam bahawa siasatan awal menunjukkan tali pinggannya telah patah dan penghadang keselamatan penumpang tidak cukup ketat di Taman Chaohua di wilayah Fengdu, yang di bawah perbandaran Chongqing.
Gambar di dalam telefon bimbit yang disiarkan oleh media kerajaan menunjukkan budak perempuan itu terhumban keluar dari permainan ‘Travel Through Space’ pada tengah hari Jumaat lalu ketika kerusi-kerusi berputar berulang kali 360 darjah. Laporan media mengatakan budak perempuan itu jatuh ke atas rel besi dan telah dikejarkan ke hospital, tempat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Akhbar harian West China Metropolis hari ini melaporkan bahawa keluarga budak perempuan itu telah mencapai perjanjian ganti rugi berjumlah 870,000 yuan dengan pihak taman hiburan itu di atas kematian satu-satunya anak mereka itu.
Akhbar itu juga mengatakan permainan itu telah lulus dalam pemeriksaan kualiti rutin pada Disember. Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin mengatakan ia telah meminta pihak berkuasa Chongqing supaya menggantung kemudahan besar hiburan taman itu untuk ‘menjalankan pemeriksaan dan menghapuskan bahaya tersembunyi.’
Ia juga mengarahkan syarikat-syarikat yang mengendali permainan ‘Travel Trough Space’ yang sama di seluruh negara supaya segera menangguhkan penggunaannya dan menghubungi pengeluarnya yang beribu pejabat di bandar Chengdu bagi pemeriksaan selanjutnya. – AP