TIMIKA, INDONESIA, 31 OKT – Para pemimpin gereja di rantau Papua, Indonesia yang dilanda konflik menggesa untuk bertenang hari ini ketika ribuan melarikan diri untuk berlindung selepas budak lelaki berusia dua tahun terbunuh dalam pertikaian antara tentera kerajaan dan pemberontak yang mahukan kebebasan.
Rantau bergolak di pinggir timur kepulauan Asia Tenggara itu menjadi latar pertempuran sekali skala selama berdekad-dekad dalam satu pemberontakan yang paling lama di dunia.
Minggu ini, budak lelaki berusia dua tahun telah terkorban dalam insiden berbalas-balas tembakan, sementara budak enam tahun dikejarkan ke hospital setelah mengalami luka tembakan di tengah-tengah pertempuran senjata di daerah Intan Jaya, menurut pihak berkuasa, yang berkata pemberontak cuba untuk mengambil alih kawalan lapangan terbang tempatan.
Polis sebelumnya menyalahkan gerila tersebut atas penembakan maut itu namun AFP tidak dapat mengesahkan pembunuhan tersebut.
Bimbang dengan lebih banyak kejadian keganasan berlaku, kira-kira 2,000 penduduk Papua telah berlindung dalam bangunan-bangunan yang diuruskan gereja, kata Dominikus Hodo di Timika yang dilanda konflik.
“Kami menyeru kedua-dua belah pihak yang bertikai untuk segera melucutkan senjata dan memulakan dialog untuk membawa perdamaian berkekalan,” kata Hodo kepada wartawan hari ini.
Jurucakap Polis Papua, Faizal Ramadhani maklum mengenai pembunuhan itu dengan ribuan orang telah melarikan diri dari kawasan tersebut namun menambah tentera berjaya mengawal kemudahan awam yang penting.
“Situasi menjadi bertambah baik,” katanya kepada AFP hari ini. – AFP
