Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Budaya ‘bercucul’ masih utuh di Labuan

    LABUAN – Memasang pelita atau ‘bercucul’ (dalam bahasa suku kaum Kedayan atau Brunei) yang telah menjadi budaya di pulau bebas cukai di sini, masih utuh diamalkan sejak zaman-berzaman.

    Bagi memastikan tradisi ini terus subur, pihak berkuasa tempatan iaitu Perbadanan Labuan dan pertubuhan komuniti menganjurkan acara bercucul, melibatkan 27 buah kampung setiap bulan Ramadan.

    Meskipun pada tahun ini tidak dapat dianjurkan secara besar-besaran dan hanya di peringkat kampung, namun tidak melunturkan semangat penduduk kampung untuk menceriakan halaman mereka dengan nyalaan cucul masing-masing.

    Ramadan tahun ini, sekurang-kurangnya dua pertandingan bercucul dan memasang panjut (pintu gerbang) peringkat kampung diadakan pada 30 April ini, melibatkan Kampung Sungai Labu dan Kampung Pohon Batu.

    Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Mohd Dzulfaizal Manan berkata sambutan Aidilfitri seakan-akan suram dan tidak meriah tanpa nyalaan cahaya cucul, yang menerangi halaman rumah masyarakat yang merayakannya.

    Penduduk Kampung Tanjung Aru, Mohd Noor Mohd Salleh memasang pelita di halaman rumah bagi memeriahkan lagi suasana malam-malam menjelang Hari Raya Aidilfitri. – Bernama
    Mohd Noor Mohd Salleh (kanan) bersama anaknya Mohd Hazim Mohd Noor, (kiri) kelihatan gembira memasang pelita. – Bernama

    “Budaya bercucul menjadi sesuatu yang wajib bulan Ramadan,  malah ia telah menjadi satu amalan yang harus diamalkan setiap akhir Ramadan…menjelang syawal budaya bercucul pastinya akan terus subur di Labuan.

    “Memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, warga Labuan pastinya akan meraikan Aidilfitri pada tahun ini dengan lebih meriah, setelah dua tahun sambutan Aidilfitri yang dalam tempoh pandemik yang membataskan sambutannya,” katanya.

    Dzulfaizal mengharapkan budaya bercucul ini terus mekar dan diwarisi untuk generasi yang akan datang.

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata memang sudah menjadi tradisi dalam budaya suku kaum Kedayan dan Brunei, memasang lampu cucul pada malam tujuh likur sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    “Kebiasaannya cucul dipasang semasa 10 malam terakhir oleh kebanyakan mereka, dan lebih meriah lagi pada 27 Ramadan…Insya-Allah, tahun hadapan kita akan mengadakan semula pertandingan bercucul melibatkan 27 kampung seperti sebelum ini,” katanya.

    Katanya memasang cucul adalah sebagai simbol untuk menyantuni tetamu atau masyarakat luar yang datang beraya dan menyambut anak perantau pulang ke kampung halaman.

    “Cucul yang dipasang melambangkan kerjasama dan perpaduan penduduk kampung masih terus utuh di Labuan…sebenarnya memasang cucul umpama membawa semangat raya, yang membuatkan sesiapa saja rasa teruja khususnya kanak-kanak.

    “Oleh yang demikian adalah menjadi satu kerugian apabila budaya dan tradisi bercucul tidak diteruskan sehingga generasi akan datang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...