Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budaya gotong-royong cerminkan perpaduan hidup bermasyarakat

    Oleh Nurdiyanah R.

    BUDAYA bergotong-royong atau disebut masyarakat Brunei sebagai bermucang-mucang merupakan satu amalan yang mulia, lebih-lebih lagi dalam mengungkayahkan aktiviti berkebajikan.

    Amalan saling tolong-menolong dan saling membantu sesama sendiri sama ada berbentuk tenaga, wang, idea dan sebagainya, sememangnya dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga serta rakan-rakan.

    Inilah budaya yang sudah menjadi warisan yang diperolehi dari nenek moyang kita yang disemai dari satu generasi ke generasi seterusnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

    Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu dengan sistem pemerintahan cara Melayu berteraskan ajaran Islam di bawah pemerintahan raja yang berbangsa Melayu sememangnya memiliki masyarakat yang bersatu padu mengamalkan dan mengukuhkan nilai-nilai luhur, adat resam dan kebudayaan Melayu sebagai nilai luhur budaya yang dominan dalam masyarakat berbudaya, berbangsa dan beragama.

    Nilai-nilai luhur tersebut antaranya adalah sikap berawar galat, hormat-menghormati, sayang-menyayangi, sikap bertolak ansur dan saling bergotong-royong serta tolong-menolong antara satu sama yang lain.

    Oleh yang demikian, dalam hidup bermasyarakat kita hendaklah mmepunyai sikap bermucang-mucang dalam diri agar segala kerja yang berat akan menjadi lebih ringan ibarat kata pepatah ‘Yang Berat Sama Dipikul, Yang Ringan Sama Dijinjing’.

    Antara ahli PKWE menyediakan masakan bubur kacang, baru-baru ini.
    Panas terik matahari ternyata tidak melemahkan semangat bermucang-mucang pada setiap wajah ahli PKWE Daerah Tutong.

    Sebanyak 500 bekas kecil bubur kacang yang telah disediakan oleh ahli PKWE Daerah Tutong.
    Sebahagian ahli PKWE sedang membungkus bubur kacang.
    Hajah Noorhaya menyatakan rasa gembira dan seronok kerana berpeluang mengungkayahkan amalan bergotong-royong dalam menyediakan bubur kacang untuk disedekahkan kepada orang ramai.
    Antara jemputan yang hadir.
    Bubur kacang sedia untuk diagihkan kepada orang ramai.
    Para jemputan juga berpeluang merasai keseronokan berbahagi rezeki dengan mengagih-agihkan bubur kacang kepada orang ramai.
    Sesi bergambar ramai antara yang terlibat dalam menjayakan majlis berkebajikan tersebut.

    Bermucang-mucang sambil beramal

    “Dengan matlamat untuk mengembalikan suasana kerja bermucang-mucang dalam kalangan masyarakat sebagai budaya masyarakat tradisi dalam zaman yang semakin dilanda arus kemodenan ini, maka inilah masanya bagi kami selaku warga emas menyemai dan sekali gus menggalakkan aktiviti-aktiviti berkebajikan seperti amalan bersedekah melalui semangat bekerjasama antara satu sama lain.”

    “Hal ini bukan sahaja mampu mendidik diri agar sentiasa memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah, namun ia juga secara tidak langsung dapat dijadikan contoh terbaik bagi mendidik generasi muda mengenai budaya amalan bermasyarakat seperti bermucang-mucang atau bergotong royong dalam kehidupan harian.

    “Oleh itu, adalah diharapkan aktiviti bermanfaat ini akan menjadi salah satu kegiatan tetap yang dipraktikkan oleh golongan warga emas pada bila-bila masa,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Pengerusi Bersama Majlis, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin selaku ahli jawatankuasa kerja Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Pengagihan Bubur Kacang Warga Emas bersempena Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah bertempat di Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong, baru-baru ini.

    Penyediaan hidangan bubur kacang

    Meskipun panas terik matahari kian memancarkan cahayanya pada ketika itu, namun semangat bermucang-mucang jelas terpancar pada setiap wajah para ahli PKWE Daerah Tutong yang terdiri dari seramai lebih 20 orang.

    Segala penat lelah seakan-akan hilang dengan adanya gelagat lucu dan tegur sapa serta diserikan pula dengan adanya hiburan berbalas pantun sesama ahli yang mana sememangnya mampu menghidupkan lagi semangat bermucang-mucang dalam menyediakan masakan bubur kacang berasaskan 30 kilo kacang hijau.

    Dalam pada itu, Haji Hamaffi juga menyatakan berkat kegigihan para ahli PKWE Daerah Tutong maka terhasillah sebanyak 500 bekas kecil bubur kacang untuk diagih-agihkan kepada para jemputan dan juga penduduk Daerah Tutong yang berada di sekitar dewan tersebut.

    “Inilah hasil air tangan warga emas sendiri dalam sama-sama mengadun bahan-bahan sehingga berjaya menyediakan hidangan bubur kacang yang begitu enak untuk dinikmati bagi orang ramai amnya. Mereka sememangnya mempunyai kepakaran masing-masing bukan sahaja dalam bidang masakan bubur bahkan juga dari segi teknik ‘labelling’ dan juga pembungkusan,” jelasnya lagi dengan penuh kegembiraan.

    Adapun majlis pengagihan bubur kacang anjuran PKWE Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Tutong itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohammad Tahir selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir memeriahkan acara pengagihan berkenaan ialah Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Metamit bin Matzin; pegawai dan kakitangan JAPEM, ahli-ahli PKWE Daerah Tutong serta pengetua dan guru-guru serta murid-murid sekolah menengah dan rendah serta sekolah agama di Daerah Tutong.

    Demi ganjaran pahala

    Salah seorang ahli PKWE Daerah Tutong yang berasal dari Kampung Lamunin, Hajah Noorhaya binti Mohd Daud menyatakan rasa gembira dan seronok kerana berpeluang untuk sama-sama mengungkayahkan amalan bergotong-royong dalam menyediakan bubur kacang untuk aktiviti pengagihan sedekah kepada orang ramai.

    “Dengan adanya aktiviti sebegini, setentunya ia adalah sesuatu yang amat berharga bagi kami dalam sama-sama meraih ganjaran pahala daripada Allah S.W.T, lebih-lebih lagi pada usia warga emas ini,” ujarnya lagi yang telah bergiat aktif dalam PKWE sejak tahun 2017 lagi.

    Selain itu, beliau yang kini berusia 64 tahun juga berharap aktiviti berkebajikan sebegini akan dapat diteruskan sampai bila-bila selagi masih dikurniakan kesihatan yang baik.

    “Oleh itu, saya mengalu-alukan orang ramai khususnya golongan warga emas atau yang sudah bersara di negara ini untuk sama-sama bergiat aktif untuk mengikuti pelbagai aktiviti meliputi aspek kemasyarakatan, keagamaan, keusahawanan dan sebagainya agar masa lapang di usia persaraan ini sentiasa diisi dengan sesuatu kegiatan yang bermanfaat,” tambah beliau lagi yang merupakan salah seorang mantan Pegawai Jururawat.

    Memanfaatkan masa persaraan

    Manakala Hajah Intan binti Ayum selaku ahli PKWE Daerah Tutong menyatakan bahawa dengan hasrat untuk mengisi masa persaraan dengan sebaik-baiknya, beliau sememangnya berasa bersyukur kerana dapat menyertai aktiviti bermucang-mucang menghasilkan ratusan bekas kecil berisi bubur kacang ini, di samping mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan juga menguatkan ikatan kekeluargaan sesama ahli-ahli PKWE.

    “Kegiatan sebegini sememangnya merupakan salah satu platform yang sangat sesuai untuk disertai oleh golongan yang sudah bersara agar ia secara tidak langsung dapat merangsang suasana keceriaan dan menjauhi diri dari merasa kesunyian dan tertekan.”

    “Oleh itu, dengan bergiat aktif sama ada secara fizikal, mental dan juga sosial seperti sentiasa berkomunikasi bersama masyarakat sekeliling, ia juga mampu menjadi medan perkongsian pelbagai pengalaman dan ilmu pengetahuan dari segi kemahiran atau kepakaran mereka masing-masing bukan sahaja dalam hal ehwal duniawi bahkan juga ukhrawi,” tambahnya lagi dengan senyuman manis.

    Mendidik diri dengan amalan bersedekah

    Dalam pada itu, para jemputan terutamanya para pelajar juga berpeluang untuk sama-sama merasai keseronokan berbahagi rezeki dengan mengagih-agihkan bekas kecil bubur kacang kepada orang ramai berkenderaan yang melintas di kawasan tersebut.

    Oleh yang demikian, salah seorang pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Awang Aizat yang menyertai sesi pengagihan bubur kacang semasa berlangsungnya majlis tersebut turut mengemukakan pandangan bahawa pengalaman berbahagi rezeki ini sememangnya merupakan satu peluang keemasan yang begitu indah dalam hidup saya yang mana ia secara tidak langsung dapat mendidik serta menggalakkan diri untuk menjadi insan berhati mulia dan lebih prihatin serta pemeduliaan sesama masyarakat tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa.

    “Walaupun keadaan cuaca begitu panas, namun saya dan rakan-rakan berasa begitu teruja dan gembira untuk menyertai aktiviti berkebajikan ini dan jika diberi peluang di masa akan datang, saya tidak akan melepaskan peluang ini kerana pelbagai pengalaman yang begitu berharga pasti akan diperolehi yang semestinya amat bernilai dalam kehidupan seharian,” jelasnya lagi semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata.

    Alangkah indahnya sesebuah masyarakat jika sentiasa mengamalkan budaya bermucang-mucang atau bergotong-royong dalam kehidupan sehari-hari.

    Dengan adanya semangat ini, pastinya negara akan memiliki penduduk dan rakyat yang sentiasa bergerak aktif ke arah perkara-perkara positif dan sekali gus mampu mewujudkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan dalam kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda