Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Budaya dan seni merupakan sebuah bidang yang tiada bandingnya di mana ia memainkan peranan penting sebagai jambatan yang terus menghubungkan rakyat Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, iaitu sebuah asas kukuh penghargaan, kesefahaman dan toleransi di antara satu sama lain.
Sejarah juga menunjukkan bahawa ia merupakan sebuah hubungan kebudayaan yang tidak hanya bermula dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini tetapi ia telah ditubuhkan berkurun lamanya di mana ia membawa pelbagai manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara.
Dalam hubungan itu, Festival Budaya Visual dan Seni Brunei-China bukan sahaja menandakan satu mercu tanda signifikan bagi Brunei dan China tetapi juga sebagai meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-30 di antara kedua-dua buah negara.
Festival itu bukan satu detik untuk refleksi tetapi ia merupakan satu detik untuk melihat ke masa hadapan, jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika berucap pada perasmian Festival Budaya Visual dan Seni Brunei-China yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, Jalan Gadong, hari ini.
Beliau menambah bahawa peranan budaya menjadi lebih relevan pada masa ini, ia merupakan bahagian penting dalam usaha untuk mengangkat kesejahteraan mental terutamanya dalam masa-masa yang mencabar serta masa depan yang kurang pasti iaitu sebuah masa depan yang ditentukan oleh pemulihan pasca COVID-19, budaya digital dan ekonomi kreatif.
Oleh itu, festival berkenaan memainkan peranan penting di mana ia menggabungkan kepelbagaian artistik kedua-dua buah negara dan menerusi kerjasama, mempromosikan literasi kebudayaan dan digital, menekankan nilai ketahanan budaya dan warisan khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Bagi kita, memulihara dan mempromosikan warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara kita bagi tahun-tahun yang mendatang adalah sentiasa relevan. Dan sebagai pengerusi ASEAN salah satu daripada keutamaan kami ialah untuk melaksanakan ASEAN Culture of Prevention iaitu satu anjakan paradigma dalam pemikiran daripada satu ke arah mitigasi kepada satu ke arah pencegahan dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ternilai kita,” jelas beliau.
Dalam hubungan itu, tambahnya, festival berkenaan bukan sahaja memberikan peluang untuk memajukan komitmen itu tetapi ia juga merupakan peluang untuk merangkul kekuatan serta bakar daripada kedua-dua buah negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan penghargaan kepada Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam yang terus menjadi rakan kongsi aktif, memainkan peranan utama dalam menyokong kerjasama erat dan pertukaran warga di antara kedua-dua buah negara terutamanya menerusi budaya dan seni.
