TOKYO – Pameran popular yang memaparkan karya-karya Christian Dior dibuka di Tokyo pada minggu ini dengan memberi tumpuan kepada daya tarikan pereka fesyen Perancis itu dengan Jepun dan pengaruh negara itu terhadap karyanya.
‘Christian Dior: Pereka Fesyen Impian’ tiba di Jepun selepas memukau ramai orang di Paris, London dan New York.
Dibuka pada Rabu, pameran itu menampilkan 350 busana haute couture – termasuk gaun yang berinspirasikan Jepun yang dipaparkan dalam tatapan atau latar khas bertujuan memberikan penghormatan kepada budaya Jepun.
Arkitek Shohei Shigematsu mencipta struktur termasuk sebuah bilik yang ditutup dengan fasad tiga dimensi beralun yang dibina daripada kertas washi tradisional lut sinar yang ditampal pada bingkai kayu.
“Apabila Dior mereka sepasang skirt, terdapat satu struktur dan kemudian fabrik diletakkan di atasnya,” beritahunya kepada AFP.



“Saya diminta mencipta struktur tradisional Jepun, maka saya terfikir mengenai skrin shoji, misalnya, yang mempunyai struktur kayu dan ditutup dengan kertas.”
Setiap bahagian memaparkan reka bentuk dalaman yang berlainan bertujuan untuk menunjukkan pelbagai aspek budaya Jepun.
“Terdapat satu bahagian yang diilhamkan oleh bilik tatami yang teratur dipisahkan oleh pintu gelangsar. Namun bukan semua yang ada di Jepun bersifat serba ringkas dan minimum,” ujarnya.
“Kami mempunyai reka bentuk berlainan seperti taman Jepun dan kimono yang mencolok mata. Saya mahu menunjukkan aspek Jepun yang tidak diketahui orang.”
Rumah Dior pertama kali menganjurkan pertunjukan di Jepun pada 1953, dan pereka fesyen itu amat terpesona dengan negara itu.
“Dior amat menghormati budaya tradisional Jepun dan dia menulis mengenainya dalam memoirnya,” beritahu kurator Florence Muller kepada AFP.
“Saya fikir wujudnya minat yang dikongsi bersama di antara Perancis dan Jepun.”
Bermula pada 1950, Dior juga bekerjasama dengan syarikat Jepun, memberikan mereka hak untuk menyesuaikan dan menghasilkan semula ciptaan Dior untuk memenuhi cita rasa penduduk tempatan. Sebagai tanda populariti jenama itu, bekas maharani Jepun, Michiko memilih sepasang gaun yang diperbuat daripada tekstil Jepun apabila beliau berkahwin dengan putera Akihito ketika itu pada 1959.
Pameran Tokyo, yang berlangsung sehingga 28 Mei tahun depan, termasuk koleksi arkib serta karya pengarah kreatif terkini, selain mempamerkan beberapa ciptaan yang diilhamkan oleh Jepun.
Salah satu rekaan menarik ialah kot John Galliano dengan corak ‘Ombak Besar di Luar Kanagawa’ terpampang di pangkal skirt kembang, dan jubah yang diikat dengan tali pinggang gaya obi yang dicipta oleh Raf Simons.
Kemeja jaket ketat Dior bernama ‘Rashomon’ – nama novel dan filem Jepun yang diarahkan oleh pengarah legenda, Akira Kurosawa – juga dipamerkan.
“Pameran ini menunjukkan sikap saling menghormati yang terjalin di antara Jepun dan Perancis dalam pendekatan mereka terhadap kraf, fesyen, reka bentuk dan seni,” kata Shigematsu. – AFP

