Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Budaya kopi Americano ais di Korea

    SEOUL – Bintang K-pop BTS meminumnya. Ia muncul dalam drama-K. Peminat amat gemar meminumnya sepanjang tahun sehingga mereka telah memperkenalkan bidalan baharu Korea Selatan: “Walaupun saya mati kesejukan, saya masih minum kopi Americano ais!”

    Kopi itu – secawan kopi espreso dihidangkan bersama ais, dan ditambah air – telah menjadi minuman kebangsaan tidak rasmi Korea Selatan, lebih laris daripada kopi panas semasa musim sejuk, menurut data Starbucks.

    Pekerja pejabat Lee Ju-eun, berpakaian jaket labuh musim sejuk paras buku lali, menggigil di laluan jalan kaki di pusat bandar Seoul ketika dia menggenggam kopi sejuk semasa jerempak dingin kutub Vortex pada Januari, apabila suhu mencecah negatif 17 darjah Celsius.

    “Saya hanya meminum ini. Kopi Americano Ais adalah lebih senang diminum dan juga lebih sedap, maka saya suka meminumnya walaupun pada musim sejuk,” beritahunya kepada AFP, sambil memegang tepi cawan plastiknya yang beku.

    “Saya rasa sejuk namun ia okey. Saya dapat bertahan,” katanya.

    Akauntan Lee Dae-hee memberitahu AFP dia meminum kopi Americano ais eksklusif kerana ia lebih cepat disediakan dan mempunyai kesan kafein yang lebih kuat, penting dalam budaya kerja ‘ppalli-ppalli’ – terburu-buru di Korea Selatan.

    Kim Bum-soo bercakap di depan kafenya semasa temu bual dengan AFP di Seoul. – AFP
    Pekerja pejabat, Lee Ju-eun memegang secawan Americano ais semasa temu bual dengan AFP di jalan raya di Seoul. – AFP
    Pemilik kafe Kim Bum-soo (kanan) membuat minuman kopi di kafenya di Seoul. – AFP
    Pekerja mengedarkan minuman kopi panas dan sejuk kepada seorang pelanggan di sebuah kafe di Seoul. – AFP

    “Saya segera meminum Americano ais selepas bangun untuk mengelak daripada mengantuk sebelum memulakan kerja,” kata Lee ketika dia cuba menutup cawan kopi besarnya daripada terkena salji semasa dia bergegas balik ke pejabatnya selepas makan tengah hari.

    “Ia tidak membuat saya sejuk kerana saya pergi terus ke pejabat dan saya tidak menghabiskan masa yang lama di luar,” katanya.

    ‘Ah-Ah’

    Penduduk Korea Selatan memandang serius minuman kopi mereka.

    Penduduk Korea Selatan meminum purata 363 cawan setahun, lebih dua kali ganda daripada purata dunia, menurut satu kajian oleh Institut Penyelidikan Hyundai pada 2019.

    Budaya kopi malah telah berkembang sehingga mempunyai bahasanya sendiri.

    Americano Ais dikenali sebagai ‘Ah-Ah’ dan peminatnya yang setia dikenali sebagai ‘Eoljuka’, singkatan daripada bidalan baharu untuk mengisytiharkan mereka akan mati kesejukan disebabkan minuman mereka.

    Trend itu telah diperhatikan oleh syarikat gergasi kopi korporat, Starbucks Korea, yang menganjurkan promosi ‘cabaran ais’ di mana ‘Eoljuka’ mendapat saiz yang dinaik taraf secara percuma apabila mereka memesan pada musim sejuk apabila suhu mencecah sifar pada akhir Januari.

    Minuman ais menyumbang kepada 76 peratus daripada jumlah jualan di kedai Starbucks di Korea Selatan pada 2022, menurut syarikat. Malah semasa jerempak sejuk pada Januari, mereka menjual lebih banyak Americano Ais – 54 peratus – berbanding kopi panas.

    “Kecenderungan pelanggan menggunakan barangan, makanan dan minuman tanpa mengira cuaca nampaknya telah menjadi trend baharu,” beritahu Park Han-jo dari Starbucks Korea kepada AFP.

    Kedai kopi bebas berkata data mereka menunjukkan situasi yang sama. Kim Bum-soo, yang memiliki sebuah kafe di pusat bandar Seoul, berkata kira-kira separuh daripada jualan kopinya adalah Americano Ais, sepanjang tahun.

    “Nampaknya penduduk Korea menggemari minuman sejuk,” beritahu Kim kepada AFP, menambah pelancong asing, terutamanya dari China, cenderung memesan teh panas walaupun pada musim panas.

    Meminum air sejuk dan minuman ais dilarang dalam perubatan tradisional China. Bagaimanapun, ‘penduduk Korea hanya meminum apa sahaja yang disukai, tanpa mengambil kira sama ada ia sejuk atau panas di luar,” kata Kim.

    Mi sejuk

    Satu sebab mengapa pekerja pejabat Seoul suka Americano Ais mungkin kerana tempat kerja mereka adalah terlalu panas dan pengap, kata pemilik kafe Kim.

    Pelanggan setia ‘Eoljuka’ Jeong Jae-won, 30, bersetuju.

    “Ia panas di dalam pejabat, oleh itu saya akan meminumnya di sana,” katanya.

    Bukan sahaja pekerja pejabat yang suka minuman itu. Bintang K-Pop, Suga daripada BTS sering digambar bersama Americano Ais di tangannya, meskipun memberitahu peminat dia cuba mengurangkan pengambilan kafein.

    Peminat K-pop asing telah membincangkan secara panjang lebar dalam forum dalam talian bahawa Jaemin daripada NCT Dream memilih versi ‘Ah-Ah’, iaitu lapan cawan kecil espreso yang disajikan bersama ais.

    Ketagihan ‘Ah-Ah’ di Korea Selatan mungkin dikaitkan dengan masakannya, kata Jang Jun-woo, penulis ruangan makanan yang mengendali bar wain tapas.

    Makanan seperti hidangan mi sejuk naengmyun, yang disajikan bersama kiub ais dalam air rebusan, merupakan bahagian penting tradisi tempatan tetapi jarang dilihat di tempat lain.

    “Malah di Jepun, penduduk sebenarnya tidak meletakkan ais dalam mi udon sejuk mereka,” beritahu Jang kepada AFP.

    “Tahap budaya makanan sejuk adalah lebih ekstrem di Korea dan ia mungkin menjelaskan kepopularan dan penyebaran kopi ais di sini.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...