KOTA KINABALU, 26 SEPT – Keakraban hubungan sedia ada antara Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia perlu diteruskan kerana mempunyai potensi membangunkan ruang-ruang sosial dan budaya antara ketiga-tiga negara.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara penting supaya dalam mengejar kepentingan ekonomi, keselamatan dan keutuhan wilayah, hubungan ‘adik-abang’ yang berkonsepkan budaya serumpun diharapkan mampu terus bertahan selamanya.
“Sesungguhnya persamaan kebudayaan serantau khususnya melibatkan tiga negara ini begitu akrab dan telah terjalin sejak sekian lama.
“Persamaan yang dimiliki juga seharusnya perlu menjadi tunjang merapatkan lagi hubungan antara rakyat ataupun pendengar (radio) di negara masing-masing,” katanya ketika merasmikan Program Bermukun Seborneo anjuran Radio Televisyen Malaysia, Radio Televisyen Brunei dan Radio Republik Indonesia di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Ariffin Asgali.
Turut hadir pada program serumpun itu ialah Pengarah RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi, Konsul Jenderal Konsulat Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani dan Konsul Muda Agong Negara Brunei Darussalam, Pengiran Runa Pengiran Maslan. – Bernama