BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Majlis Ilmu 2025 menegaskan komitmen negara dalam menanamkan budaya memberi sebagai asas pembangunan holistik masyarakat dan negara, dengan tema Negara Ditanai dengan Sedekah yang menekankan sedekah sebagai pemangkin rohani, sosial dan ekonomi, selain menjadi penolak bala dan pemangkin keberkatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025 menekankan bahawa, “Tema Negara Ditanai dengan Sedekah bukan sekadar amalan memberi, tetapi sebagai asas kekuatan sosial, penolak atau penghindar bala dan pemangkin keberkatan negara.”
Dalam sembah alu-aluannya semasa Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79, beliau menyatakan bahawa sejak mula dianjurkan pada tahun 2004, Majlis Ilmu telah berkembang menjadi acara tahunan yang memartabatkan ilmu sebagai teras pembangunan negara dan memperkukuh nilai Melayu Islam Beraja.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyembahkan, “Majlis Ilmu telah menjadi platform yang bukan sahaja menyuburkan wacana ilmiah, malah menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan keperluan dan cabaran semasa negara.”
Dari tahun ke tahun, tema majlis dirangka selaras dengan titah dan pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, merangkumi pengukuhan akidah, pembangunan insan, inovasi, kelestarian alam serta kesejahteraan sosial.

Menurutnya, Majlis Ilmu 2025 yang dianjurkan secara bersama oleh JPM, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan, serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan diserikan dengan beberapa siri pengisian ilmiah termasuk Pameran Majlis Ilmu, Forum Perdana, Ceramah Perdana dan Seminar Majlis Ilmu.
Yang Berhormat Pehin menyembahkan, “Bagi memperluas capaian dan penghayatan tema Majlis Ilmu 2025, Forum Majlis Ilmu Daerah-daerah akan diadakan di keempat-empat daerah, membincangkan konsep sedekah jariah, memperluas pemahaman tentang pelbagai bentuk sedekah serta menekankan peranan pendidikan dan teladan sejak usia muda.”
Majlis Ilmu 2025 dihasratkan menjadi wahana yang bukan sahaja memperkukuh kefahaman tentang fadilat sedekah, malah menggerakkan seluruh lapisan masyarakat untuk menjadikannya budaya hidup yang berterusan.
Yang Berhormat Pehin menegaskan, “Sedekah, dalam erti kata yang luas sama ada dalam bentuk harta, ilmu, masa mahupun tenaga, adalah asas pembinaan ummah yang penyayang, bersatu padu dan berdaya tahan.”
Menurut Yang Berhormat Pehin, penghayatan tema Negara Ditanai dengan Sedekah dilihat mampu menyemai budaya memberi yang ikhlas dan inklusif, merentasi perbezaan latar belakang, sambil menumbuhkan rasa empati dan ukhuwah Islamiah.
Selain itu, ia memperkukuh jaringan kerjasama melalui pendekatan senegara melibatkan kerajaan, sektor swasta dan NGO bagi membina sistem sokongan sosial yang mampan.
Sedekah juga dijadikan pemangkin pembangunan rohani, sosial dan ekonomi, menyumbang kepada kestabilan negara, kesejahteraan rakyat dan keberkatan berpanjangan, sejajar dengan pencapaian Wawasan Brunei 2035 yang menekankan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berkualiti hidup unggul berteraskan nilai-nilai Islam.
Melalui Majlis Ilmu 2025, negara sekali lagi menzahirkan aspirasi untuk memastikan kelestarian amalan sedekah melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan generasi muda, agar manfaatnya terus mengalir kepada masyarakat dan negara.

