Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budaya tradisi tonjol keunikan puak jati Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setiap sentuhan busana yang diperagakan bagaikan memiliki ‘roh’ yang mampu mengimbau kita akan asal-usul sejarah silam. Mata penulis seakan-akan terpanah apabila berkesempatan menyaksikan dan menemui beberapa golongan etnik yang berpakaian tradisi dan seni tarian yang mereka miliki sejak turun-temurun.

    Hadirnya mereka semasa berlangsungnya majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat serta penduduk di keempat-empat buah daerah sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75, baru-baru ini jelas menonjolkan jiwa perpaduan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi demi pemimpin negara yang disayangi.

    Tidak kira usia muda atau tua kelihatan segak, bergaya dan anggun jelita bersulam semangat etnik dalam sanubari mereka tetap terpancar aura serinya pada keterampilan mereka. Sudah tertulis sejak dahulu lagi, Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu dengan tujuh puak jati iaitu Melayu Brunei, Tutong, Belait, Kedayan, Bisaya, Dusun dan Murut. Masing-masing memiliki keunikan dan nilai keistimewaan budaya tersendiri.

    Identiti KeBruneian Tetap Gah

    Aura kesetiaan insan ini tetap terserlah meskipun sudah mencecah di usia emas namun jiwanya tidak pernah luntur di mamah waktu.

    Setiap tahun acara itu ditunggu-tunggu oleh Haji Yanam bin Ismail untuk sama-sama meraikan keberangkatan raja yang dikasihi lagi berdaulat ke majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat di Daerah Tutong.

    Haji Yanam memperagakan pakaian Cara Melayu lengkap bersinjang dan bersongkok pada Majlis Ramah Mesra di Daerah Tutong, baru-baru ini.
    Haji Mohammad Syafien semasa berkongsi mengenai keunikan dan keistimewaan budaya Puak Dusun.
    Awang Padan memperagakan pakaian tradisi Puak Murut iaitu sejenis kain yang diperbuat daripada kulit kayu Timbaran dengan sentuhan jahitan tangan.
    Pakaian tradisi Puak Dusun yang diperagakan ketika persembahan Tarian Ancayau semasa majlis ramah mesra di Daerah Tutong, baru-baru ini.
    Tarian Umak Ruma yang yang dipersembahkan oleh Puak Murut, salah satu seni warisan Puak Murut untuk mengucapkan tanda selamat dan memohon perlindungan.

    “Alhamdulillah, mencecah usia 81 tahun, dengan izin Allah SWT, kita dapat menikmati keamanan, kedamaian dan kemakmuran dengan berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja yang sudah begitu sebati dalam kehidupan orang-orang Brunei sehingga hari ini.

    “Di hari penuh bersejarah ini, semakin meriah apabila kami memakai Baju Cara Melayu dengan mengenakan sinjang serta songkok. Hal ini turut membuka minda kita semua betapa indahnya busana Melayu tradisi yang kita warisi sebagai pakaian kebangsaan berciri keBruneian bagi kaum lelaki perlu dipertahankan dari semasa ke semasa dan begitu juga kecantikan Baju Kurung bagi kaum hawa,” ujarnya.

    Di akhir katanya, beliau yang berasal dari Kampung Layong, Daerah Tutong yang hadir bersama para penduduk kampung yang lain semasa majlis tersebut turut menyelitkan bait-bait doa dengan kerendahan hati memohon kepada Allah SWT agar melimpahkan keberkatan umur dan kesihatan kepada pemimpin negara yang dicintai dan juga kerabat diraja yang lain, serta rakyat dan penduduk tanah air kita sentiasa diberikan kedamaian dalam meniti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.

    Simbol merah, putih dan hitam

    Masyarakat Sang Jati Dusun juga tidak kurangnya kaya dengan keunikan dan keistimewaan tersendiri, dengan berpegang kepada pepatah Melayu ‘Biar mati anak jangan mati adat’ demikianlah yang melambangkan betapa teguh dan penting adat mahu pun budaya yang mereka ketengahkan agar ia dapat dipertahankan untuk generasi yang akan datang.

    Busana tradisi yang terserlah gabungan warna merah, putih dan hitam, itulah ciri yang menyerikan sentuhan pakaian yang mereka peragakan ketika mempamerkan persembahan Tarian Ancayau kehadapan majlis Baginda Sultan dan juga kerabat diraja.

    Semasa ditemui, Haji Mohammad Syafien bin Yandul selaku salah seorang Sang Jati Dusun Brunei menjelaskan bahawa adapun Tarian Ancayau yang diiringi dengan Gendang Ibang-Ibang berkenaan merupakan salah satu tarian tradisi yang melambangkan sebuah penghargaan bagi menyambut kedatangan tetamu.

    “Warna merah itu memiliki maksud gagah atau berani, warna putih pula membawa erti kesucian dan hitam merujuk kepada semangat seorang pahlawan,” tambahnya lagi semasa ditemui Media Permata.

    Gaya tarian yang menggambarkan pergerakan berburu itu biasanya akan membawa peralatan utama semasa tarian berkenaan iaitu seorang penari lelaki utamanya yang umpama menjadi seorang pahlawan memegang angkiring yang berupa sebatang rotan yang runcing di hujungnya berukuran panjang sedepa dan pada hujung rotan ini dipasangkan giring-giring daripada tembaga bertujuan untuk mengeluarkan bunyi. Selain itu, khalid iaitu sebuah perisai yang diperbuat daripada kayu turut diselitkan pada selampai yang ditenun, perhiasan kepala yang disebut tugog serta sebilah pemarang diikat disamping pinggangnya.

    Seni budaya tersirat makna

    Pengalaman penuh bermakna, semasa kunjungan penulis di majlis di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ pula, apabila berpeluang menyaksikan Tarian Umak Ruma yang didendangkan kehalusan gerak-gerinya oleh Persatuan Lun Bawang Murut Brunei.

    Semasa ditemui, Awang Padan bin Lasong selaku ketua kebudayaan persatuan berkenaan menjelaskan bahawa tarian kebiasaannya dilakukan apabila berlangsungnya majlis pindah rumah baharu dalam kalangan Puak Murut yang dijalankan pada waktu malam.

    “Tarian yang diiringi dengan alat-alat muzik tradisi seperti gulintangan yang mana ia bertujuan untuk mengucapkan tanda selamat dan memohon perlindungan supaya penghuni rumah akan terlepas daripada gangguan,” ujarnya lagi.

    Berbicara mengenai budaya pakaian tradisi puak berkenaan, Awang Padan yang menetap di Kampung Parit, Daerah Temburong menyatakan bahawa bagi kaum lelaki memakai sejenis kain yang diperbuat daripada kulit kayu Timbaran dengan sentuhan jahitan tangan.

    Manakala pakaian tradisi kebanggaan kaum wanitanya disebut dengan nama Kuyu Kebaya yang diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam terdiri daripada dua bahagian iaitu baju kebaya dan kain yang turut dihiasi dengan beberapa aksesori tradisional lain seperti hiasan kepala ‘Peta Uluh’ atau topi dari jalinan manik tanah liat, tali pinggang dan rantai hiasan dari manik, gelang tangan dan gelang kaki. Segala keindahan berkenaan sememangnya menzahirkan keperibadian kewanitaan, lambang keanggunan dan cerminan budi pekerti tinggi mereka.

    “Lambang kesetiaan kepada raja yang kita kasihi, kami tampil bukan hanya untuk mengetengahkan budaya pakaian tradisi ini bahkan ia juga diharap untuk membuka minda semua lapisan masyarakat dari pelbagai puak yang lain untuk turut berjuang memartabatkan dan menghayati betapa indahnya kesenian budaya puak-puak Melayu tanah air kita di samping mempraktikkan nilai-nilai kebudayaan tradisi milik orang-orang Brunei dengan penuh kesungguhan agar keasliannya tidak pupus begitu sahaja,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda