Oleh Cikgu Roya –
Penggunaan rokok elektronik yang dikenali sebagai vape telah mula menular seawal peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi. Di usia yang masih mentah, golongan kanak-kanak muda dan remaja ini mudah terpengaruh oleh ajakan kawan dan pengaruh media sosial.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 86 juta orang dewasa dan 15 juta kanak-kanak berumur 13 hingga 15 tahun menggunakan vape atau rokok elektronik.
Manakala, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan, Promosi dan Pencegahan WHO, Dr Etienne Krug menyatakan rokok elektronik mencetuskan gelombang baharu ketagihan nikotin walaupun penggunaan rokok konvensional semakin menurun.
Perkara ini amat merisaukan dan boleh menjejaskan kesihatan murid dan pelajar yang terbabit dengan gejala ini.
Sigup dan vape merosak diri
kemudaratan dikaji sudah terbukti
mendapat kanser baru kan berhenti?
Elak dan hindar jangan dihampiri

Banyak faktor yang mendorong ke arah berlakunya gejala ini antaranya:
1. Ingin berkawan. Terdapat segelintir murid dan pelajar mencuba vape kerana ingin diterima dalam satu-satu kelompok kawan itu. Perkara ini sering terjadi kepada pelajar yang baru berpindah ke sekolah baru atau murid yang baru memasuki ke sekolah menengah.
2. Ingin mengikut trend atau terikut kawan. Sebab lain punca bermulanya vaping ialah pengaruh rakan. Ini disebabkan kerana tidak ingin diejek kolot atau membosankan kawan yang sudah menggunakan vape.
3. Naluri ingin tahu anak muda untuk mencuba sesuatu benda baharu. Pengaruh utamanya datang dari media sosial seperti TikTok dan YouTube serta orang sekeliling. Mereka mudah terikut trend seperti cabaran wap vape, apatah lagi apabila role model melakukannya, menjadikan perbuatan itu kelihatan normal.
Golongan muda menganggap vaping ‘lebih selamat’ daripada rokok kerana dipromosikan sebagai alternatif ‘lebih sihat’. Ada yang percaya ia membantu untuk berhenti merokok.
Namun kajian WHO mendapati pengguna vape tiga kali lebih berisiko menjadi perokok.
Sebenarnya, vape mengandungi bahan kimia dan racun sama seperti rokok yang menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.
Sigup dan vape mesti diberhenti,
rugi kerajaan merawat dan memeduli,
hidup sementara hanya sekali,
kesihatan berharga untuk disyukuri,
Menghisap, memiliki atau mengedar vape merupakan kesalahan disiplin berat di sekolah dan asrama. Pelajar yang didapati melakukannya akan dikenakan tindakan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan. Menurut buku disiplin sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam, murid atau pelajar yang didapati menghisap vape akan dikenakan tindakan mengikut peringkat. Penguatkuasaan dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Program Khidmat Bakti Negara. Manakala bagi pihak sekolah, melibatkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Bahagian Kaunseling Sekolah dan jabatan-jabatan mata pelajaran.
Ibu bapa atau penjaga akan dimaklumkan dan perlu menandatangani surat persetujuan jika anak mereka dikenakan Internal Suspension selama lima hingga 10 hari. Sepanjang tempoh itu, pelajar hadir ke sekolah setiap hari untuk menjalani program berbentuk pengajaran dan kesedaran melalui aktiviti yang dikendalikan oleh bahagian bimbingan dan kaunseling, kerja amal yang diawasi oleh bahagian HEP, serta program kerohanian oleh pengajian Islam.
Antara sebab pelajar lebih cenderung untuk menggunakan vape daripada rokok adalah kerana:
1. Tiada asap yang berbau yang boleh melekat pada mulut dan badan pengguna. Ini merupakan tarikan utama mengapa pelajar lebih cenderung untuk menggunakan vape ini.
2. Lebih senang dan mudah dibawa di dalam beg, dengan bentuk yang beraneka jenis dan perisa menyebabkan vape lebih popular dalam kalangan remaja tanpa mengira jantina dan umur.
3. Tanggapan salah pelajar bahawa wap daripada air atau vapour lebih selamat disedut daripada asap rokok yang beracun.
4. Wap daripada sedutan pod vape lebih cepat hilang tanpa kesan dan bau. Ada juga kes di mana pelajar berani menghisap vape di dalam kelas sewaktu guru sedang menulis di papan putih.
Tauladan baik anak cucu ingati,
dikenang selalu dan disanjungi,
sigup dan vape jangan tah diwarisi,
wajib dihindar wajib dijauhi.
Ibu bapa dan penjaga murid serta pelajar perlulah sentiasa peka dengan pengaruh bahaya ini dengan:
1. Kerap menasihati anak tentang bahaya penggunaan vape. Terangkan kepada anak tentang bahayanya kepada kesihatan tubuh badan dan kesihatan mental.
2. Ajar anak cara mengelak daripada ajakan kawan yang cuba mempengaruhi dengan menggunakan teknik seperti melengahkan jawapan, mengalih perbuatan atau mengatakan tidak kepada ajakan tersebut (refusal skills).
3. Bina kemahiran daya tahan anak (resilience skills), iaitu dengan membina keyakinan diri tanpa perlu ikut tekanan kawan, berani berkata ‘tidak’ tanpa perlu takut hilang kawan dan pandai memilih kawan yang positif.
4. Ambil tahu dengan siapa anak bergaul dan berkawan di dalam dan luar sekolah. Sering menasihati anak agar pandai memilih kawan.
5. Sekali sekala periksalah isi kandungan dalam beg sekolah anak sewaktu di rumah.
6. Tunjukkan kepada anak tentang denda hukuman yang bakal diterima oleh mereka yang didapati menggunakan vape oleh pihak berwajib. Nyatakan kesan negatifnya jua.
Sisa umur hendaklah dinikmati,
anak cucu melihat memerhati,
jadilah tauladan untuk diikuti,
bukan iktibar yang digeruni.
Di rumah, jika ada anggota keluarga kita yang masih lagi merokok atau menggunakan vape, nasihatkanlah untuk berhenti segera, tegaskan kepada mereka rumah dan kawasan rumah adalah zon tidak boleh merokok atau vaping termasuklah dalam kereta.
Bersama-samalah kita memantau anak-anak dan orang tersayang daripada terpengaruh dengan gejala tidak sihat ini. Menghindar lebih baik daripada mengubati.

