Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Agama Islam merupakan agama sempurna yang bukan sahaja menyuruh umatnya beribadat seperti mengerjakan sembahyang, puasa, menunaikan haji dan sebagainya, malah Islam juga menyuruh umatnya untuk saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur antara satu sama lain agar kehidupan sentiasa sejahtera.
Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai perlunya umat Islam menasihat dan menegur antara satu sama lain yang dianjurkan Islam agar umat Islam menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri sendiri.
Namun khatib menegaskan nasihat atau teguran perlulah dibuat dengan penuh adab dan sopan agar tidak menimbulkan salah faham dan kemarahan orang yang ditegur sehingga terjadinya pertengkaran kerana tidak semua orang boleh menerima nasihat dan teguran.
“Adab dan sopan perlu seiring dalam menasihati, menegur dan memberi pendapat kerana niat kita menegur hendaklah betul, demi kebaikannya dan bukannya bertujuan menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk. Cara menegur mestilah berhemah, berhati-hati dan jangan senghaja mencari kelemahan orang yang ditegur,” katanya.
Menurutnya lagi, setiap nasihat atau teguran perlu diteliti dan dihalusi, orang yang menegur mestilah dalam keadaan yang tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kerana semua itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaaan. Khatib turut menjelaskan beberapa adab yang perlu diambil perhatian dalam menasihati dan menegur dengan cara yang baik, antaranya ialah memberi nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lembut dan tidak meninggikan suara atau menggunakan bahasa yang angkuh dan sombong kerana apabila seseorang itu menasihati dan menegur bukan untuk mendedahkan aib orang.
Cara kedua ialah elakkanlah daripada menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai, nasihati dan tegurlah ketika dia sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup. Ketiga pula, jelas khatib, ialah memberikan nasihat dan teguran dengan menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur. Orang yang menasihati haruslah berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak merasa terhina dan rendah diri. Berikanlah nasihat dengan akal fikiran dan hati bukannya dengan emosi.
Keempat ialah, orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk perasaan orang yang ditegur supaya jangan terasa hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan.
Cara kelima ialah sentiasalah bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati dan tegur itu kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan. Khatib mengingatkan budayakanlah amalan nasihat-menasihati dan tegur-menegur dengan kata-kata lemah lembut dan berbudi bahasa.
“Berilah nasihat dan teguran dengan niat yang iklhas semata-mata kerana Allah S.W.T dan dengan cara yang penuh berhemah agar nasihat dan teguran dapat diterima dengan hati yang terbuka.
Terimalah nasihat dan teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim antara satu sama yang lain,” kata khatib.