BUDI: RM1.2 juta diagihkan kepada 670 pelajar B40

KOTA KINABALU, 21 OKT – Kerajaan Sabah mengagihkan RM1.2 juta kepada 670 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata inisiatif BUDI adalah antara usaha kerajaan Sabah untuk membantu pelajar kumpulan B40 meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda serta diploma sekali gus memastikan tiada tercicir daripada mendapatkan pendidikan terbaik dan berkualiti.

Beliau berkata Yayasan Sabah menerusi BUDI menyalurkan bantuan sekali bayar RM2,000 kepada 479 pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda manakala RM1,500 seorang kepada 168 pelajar Diploma serta 23 pelajar di peringkat persediaan.

“Selain inisiatif BUDI, kerajaan negeri turut memberi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia sebanyak RM200 seorang.

“Inisiatif lain turut dilaksanakan ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar tidak berkemampuan dan bakal menduduki peperiksaan penting,” katanya di sini hari ini. – Bernama