Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bufet durian pertama hotel

    Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

    KUALA LUMPUR – Walaupun kebanyakan hotel di negara ini bimbang dengan prospek menganjurkan pesta durian, bagi Hotel Corus yang terletak di Jalan Ampang di sini, kehadiran ‘Raja Buah’ Malaysia itu di premisnya amat dialu-alukan dan diberi keutamaan.

    Bukan sahaja anda tidak melihat papan tanda ‘durian tidak dibenarkan’ di hotel, Corus malah, melabur RM100,000 untuk mewujudkan ruang khas ‘yang pertama seumpamanya’ untuk menempatkan bufet durian kekal bagi memenuhi selera pelanggannya yang mahu mencuba kelainan.

    “Seperti sedia maklum semua orang sukakan durian, orang tempatan dan pelancong, serta durian adalah sebahagian kehidupan rakyat Malaysia, jadi apa cara yang lebih baik untuk menawarkan durian apabila mereka menginap di hotel? Oleh kerana durian Malaysia dikatakan sebagai yang terbaik di dunia, kami tidak patut ambil mudah akannya dan memasarkannya mengikut cara itu… malah kerajaan kini juga merancang untuk memanfaatkan sepenuhnya pelancongan durian,” kata pemilik Corus, Andrew Khoo Boo Yeo kepada Bernama.

    Hotel itu, katanya merancang untuk menawarkan bufet durian tujuh hari seminggu, sepanjang tahun, mulai hujung bulan ini.

    Bufet durian Corus, katanya akan termasuk konfeksi dan pastri membabitkan antara 10 hingga 12 pencuci mulut seperti kek durian, ais krim, kopi, biskut dan lainnya yang berkaitan dengan buah berduri dan berbau kuat itu.

    Antara hidangan yang berkonsepkan durian. – Agensi

    Menurut Khoo, idea ‘di luar kebiasaan itu’ bertujuan untuk menyediakan ruang khas di mana pelanggan hotel dapat merasai pengalaman menikmati bufet durian dalam suasana selesa di dalam hotel.

    Bagaimana beliau mahu merealisasikan ideanya itu, terutamanya antara memenuhi keperluan pencinta durian dan memastikan mereka yang tidak sukakan durian berada di jarak yang selamat?

    “Kawasan ruang kopi dan kawasan lobi kami agak besar, jadi kami hanya perlu peruntukkan ruangnya.

    “Jadi bufet durian di ruang kopi akan mempunyai zon berasingan Ia bukannya durian segar, maka baunya adalah minimal.

    “Bagaimanapun, kami sedang mengkaji untuk mewujudkan bilik khas tertutup berpendingin hawa untuk pencinta durian menikmati durian segar dalam suasana selesa di dalam hotel,” katanya. – Bernama

    Aiskrim biskut mangga

    Bahan-bahan:

    Dua biji mangga besar.

    Dua cawan krim.

    3/4 susu pekat.

    Sekotak biskut kraker.

    Cara menyediakannya :

    Mula-mula potong mangga menjadi dadu. Ketepikan. Pukul krim sampai kental. Tuang susu pekat dan kacau sampai sebati (tak perlu pukul). Selepas itu susun biskut dalam bekas yang beralas plastik. Tuang sedikit campuran krim tadi dan ratakan. Tabur potongan mangga. Susun lagi biskut di atasnya dan ulang semula cara-cara dari awal. Terpulang berapa lapisan yang hendak dibuat.

    Untuk topping:

    Tabur potongan mangga pada lapisan krim yang terakhir dan terus bekukan. Atau, masak serbuk puding mangga ikut arahan pada kotak. Biarkan sejuk tetapi jangan sampai beku. Tuang rata di atasnya. Cara lain adalah cairkan sos mangga dan tuang atasnya. Simpan di tempat beku empat hingga lima jam sebelum dipotong. Lebih baik semalaman untuk menikmati kesegarannya.

    Air sirap buah nau dan biji chia

    Bahan-bahan:

    Satu liter air.

    Setengah cawan pati sirap ros.

    Dua cawan buah nau yang telah dibersihkan.

    Setengah cawan biji chia yang telah direndam sehingga kembang.

    Sehelai daun pandan.

    Tiga sudu makan gula.

    Cara menyediakannya:

    Campurkan kesemua bahan ke dalam periuk. Panaskan sehingga gula larut dan air mendidih. Selepas itu, anda akan melihat warna buah nau berubah menjadi jingga.

    Masukkan bahan tadi ke dalam bekas air atau cawan. Letakkan ketulan ais dan sedia untuk menikmatinya.

    Pastil epal manis

    Bahan-bahan:

    Dua kilogram epal manis.

    Cara menyediakannya:

    Cuci epal dengan teliti, kemudian buang lapisan kulitnya. Selepas itu potong epal tersebut menjadi kepingan kecil. Panaskan periuk dan letakkan epal di dalam periuk tebal.

    Masukkan sedikit air sejuk supaya epal tadi tidak mengeluarkan bau hangus. Rebus kepingan-kepingan epal selama satu jam dengan suhu api yang rendah.

    Selepas masa yang diperuntukkan, epal akan mula hancur menjadi kentang tumbuk, gunakan penapis untuk mengeluarkan jisim-jisim epal yang berwarna coklat lembut.

    Sediakan lapisan kertas nipis di atas dulang pembakar, letakkan epal dengan rata. Masukkan ke dalam ketuhar dan panaskan sehingga 120 darjah.

    Selepas epal kelihatan menjadi gebu, keluarkan dulang tersebut dan letakkan di atas meja dalam satu jam.

    Selepas itu potong kecil-kecil mengikut kesukaan anda. Biarkan lagi selama dua hingga lima jam untuk menghilangkan suhu panas pastil epal tersebut. Taburkan gula aising di atasnya.

    Jika bentuk dan ciri-cirinya seperti marshmallow, anda telah berjaya melakukannya!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda