Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    BUI PPDB raih keberkatan penghujung Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Seramai 47 peserta lelaki dan 17 peserta wanita terdiri daripada anggota-anggota PPDB dan jemaah Surau Polis kelmarin telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran bagi Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui kelolaan Badan Ugama Islam (BUI) PPDB yang diadakan di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan juga para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai serta warga kakitangan awam dan anggota PPDB.

    Majlis tersebut antara lain diadakan bertujuan untuk menekankan tentang keistimewaan Al-Quran dan meraih syafaat Al-Quran dengan memperbanyakkan pembacaan Al-Quran.

    Di samping itu, BUI PPDB turut giat mengadakan beberapa majlis keagamaan pada penghujung bulan Ramadan baru-baru ini yang telah diadakan di Surau Polis Gadong, PPDB. Antaranya adalah Majlis Ceramah Agama Sempena Nuzul Al-Quran di Bulan Ramadan. Majlis itu adalah untuk memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran iaitu peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama sebagai wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

    Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan semasa mengambil bahagian dalam majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda