MELBOURNE, 18 MAC – Pihak berkuasa Australia menutup dua pantai selepas penemuan ikan mati dan buih berwarna putih kekuningan yang mencurigakan, selain laporan beberapa peluncur yang jatuh sakit selepas berada di dalam air.
Menurut Pegawai Saintifik Utama di Lembaga Perlindungan Alam Sekitar Australia Selatan, Sam Gaylard, fenomena itu dipercayai berpunca daripada letusan mikroalga yang dihasilkan oleh keadaan cuaca luar biasa, sekali gus memberi kesan kepada hidupan laut dan manusia.
“Ia sangat membimbangkan. Kejadian ini berlaku pada skala yang luar biasa,” katanya kepada Australian Broadcasting Corp.

Pantai Waitpinga dan Pantai Parsons, yang terletak di selatan ibu negeri Australia Selatan, Adelaide, telah ditutup sejak kelmarin susulan insiden kematian ikan di kawasan itu, menurut Jabatan Alam Sekitar dan Air dalam satu kenyataan.
Puluhan ikan dilaporkan mati telah hanyut pantai dan beberapa peluncur dilaporkan mengalami sakit tekak, mata pedih dan batuk selepas bersentuhan dengan air laut sejak hujung minggu lalu.
“Ketika kami berada di dalam air, kami mula batuk,” kata seorang peluncur tempatan, Anthony Rowland, yang berkongsi pengalamannya selepas meluncur di Pantai Waitpinga pada Sabtu.
“Ramai yang menghubungi saya dan mengatakan mereka mengalami simptom yang sama,” tambahnya.
Sampel air dari buih berkenaan telah diambil untuk dianalisis, namun keputusan mengenal pasti organisma penyebab dijangka hanya diketahui hujung minggu ini.
Menurut Gaylard, letusan mikroalga itu mungkin dipengaruhi oleh cuaca panas dan kering yang berpanjangan dengan sedikit angin dan air surut. Gelombang besar yang melanda sejak Ahad turut berperanan dalam memecahkan alga dan menghasilkan lebih banyak buih.
“Buat masa ini, kami belum dapat memastikan berapa lama fenomena ini akan berterusan,” katanya. – AP