Buka masjid besar dengan SOP ketat

Setakat ini laporan bilangan jangkitan baharu COVID-19 di negara kita semakin bertambah dari hari ke hari.

Apa yang diketahui, kebanyakan kes-kes baharu berpunca daripada jangkitan dari keramaian pengunjung ke tempat-tempat yang telah dibenarkan beroperasi oleh pihak berwajib seperti gedung perniagaan dan seumpamanya.

Namun, sehingga kini masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara masih ditutup yang diharapkan akan menghalang penularan jangkitan. Namun saya berpendapat, alangkah baiknya masjid-masjid dan surau-surau serta balai ibadat bersaiz besar dibuka secara berhemah.

Berhemah di sini mungkin mengurangkan jumlah jemaah yang perlu memasuki masjid, menggunakan aplikasi BruHealth dan memastikan jemaah divaksin. Walaupun ketika ini memadai dengan melakukan ibadat dan berdoa dari rumah, namun jika masjid boleh dibuka maka ianya akan dapat menghampirkan lagi diri kita kepadaNya. Tambahan lagi, masjid dianggap Rumah Allah.

Insya Allah jika kita mengikut arahan atau prosedur operasi standard (SOP) akan dapat menghindarkan diri daripada musibah wabak ini. Kami berharap pihak yang berkenaan dapat membenarkan agar masjid, surau dan balai ibadat itu dibuka secara berperingkat mengikut peraturan yang disediakan.

Pemket kabir