Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buka minda masyarakat timba pengetahuan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Jabatan Penerangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Dengan hasrat untuk menyuntik semangat dan menginspirasikan masyarakat ke arah mempertingkatkan taraf kehidupan demi sama-sama menyahut aspirasi negara, Jabatan Penerangan telah meneruskan Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi 23 orang ahli Persatuan Pertiwi Daerah Temburong menerusi lawatan ke Syarikat Seri Paring di Kampung Pengkalan Sibabau, Jalan Kota Batu, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, para peserta yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi Daerah Temburong, Hajah Halimah binti Haji Abu Salam, telah berpeluang meninjau perusahaan ternakan lima jenis ikan iaitu ikan putih, ikan merah, ikan kerapu, ikan tilapia merah dan ikan selongsong, yang dimiliki oleh Haji Baharuddin bin Haji Bahar.

    Program berkenaan diteruskan lagi ke Galeri Lentera Makmur, Jabatan Penerangan.

    Galeri yang telah dirasmikan pada 10 April 2021 itu merupakan sebagai nilai tambah kepada platform penyebaran maklumat yang sedia ada sejajar dengan objektif asal penubuhan jabatan itu pada 1 April 1952 untuk menyalurkan maklumat dasar dan aktiviti kerajaan kepada seluruh lapisan masyarakat sama ada di bandar atau pedalaman dalam usahanya untuk membudayakan masyarakat bermaklumat.

    Kemudian pada sebelah petang pula, para peserta berkesempatan mengunjungi Ladang Nanas yang diusahakan oleh Majlis Perundingan Kampung Tungku Katok di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku, Mukim Gadong A.

    Rombongan berpeluang mengenali beberapa jenis nanas yang ditanam di ladang berkenaan seperti nanas paun, nanas taiwan dan nanas madu, selain buah markisa dan jagung.

    Kenyataan menyatakan, perlaksanaan program berkenaan diharap dapat membuka minda masyarakat untuk menimba pengetahuan dan pengalaman untuk menaik taraf perekonomian kehidupan sehari-hari melalui aktiviti keusahawanan dan juga menerusi taklimat-taklimat dari agensi-agensi tertentu dan juga perkongsian maklumat bersama golongan pengusaha yang berjaya.

    Program sedemikian juga dihasratkan bagi mewujudkan masyarakat kampung yang bermaklumat dan berilmu dalam sama-sama menanai hasrat kerajaan mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Rombongan turut dibawa ke Galeri Lentera Makmur, Jabatan Penerangan.
    Rombongan berpeluang meninjau perusahaan ternakan lima jenis ikan di Syarikat Seri Paring.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda