Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buka peluang IKS pasarkan produk halal ke China

    KUALA LUMPUR, 23 Feb – Meskipun permintaan produk halal di China semakin meningkat sejak kebelakangan ini, namun keupayaan golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan untuk menembusi pasaran negara itu masih kurang memberangsangkan.

    Menyedari hakikat itu, Universiti Malaya melalui Institut Kajian Halal Universiti Malaya (IHRUM) telah mengambil inisiatif membimbing usahawan IKS terpilih bagi merebut peluang memasarkan produk mereka ke negara tembok besar itu.

    Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yussof berkata buat julung kalinya, pihaknya dengan kerjasama Upaya Vista Sdn Bhd akan mencari 100 usahawan terpilih untuk dibawa menyertai ekspo halal ‘The Third China Xi’an International Halal Food Expo 2017’ yang diadakan di Xi’an dari 11 hingga 18 April depan.

    Zulkifli berkata ekspo itu dilihat sebagai akses terbaik bagi para usahawan untuk menembusi pasaran halal ke negara tersebut selain melebarkan sayap perniagaan mereka ke persada antarabangsa.

    “Ekspo itu merupakan kesinambungan daripada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya dan Shaanxi Zhenhua International Exhibition Co.Ltd. pada 10 Feb lepas di Xi’an, China.

    “Usahawan terpilih bakal menjadi anak didik IHRUM bagi membentuk kerjasama dalam penyertaan ekspo halal antarabangsa, penyelidikan halal, persijilan halal dan pasaran eksport,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan pemilihan siri kedua ekspo itu, di sini, hari ini.

    Beliau berkata, penyertaan usahawan itu melalui inisiatif yang disokong penuh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed membuktikan usaha berterusan pihaknya dalam memartabatkan IKS negara selain mengangkat jenama Malaysia ke peringkat global. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda