Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buka peluang kepada yang berminat ceburi perniagaan

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 29 Ogos – Hari Terbuka Keusahawanan (EOD) Darussalam Enterprise (DARe) yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, hari ini, merupakan peluang keemasan bagi mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan dan para pengusaha untuk berinteraksi, berkongsi permasalahan bersama pihak-pihak yang berkepentingan.

    Lebih 30 agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam acara berkenaan bagi membantu para pengusaha dan bakal usahawan dalam memberikan ilmu mengenai Program Pembinaan Kapasiti, Pensijilan Halal, perkara yang berkaitan dengan harta intelektual, pameran ekspo dan perdagangan, label produk nutrien dan ujian jangka hayat, pengambilan tenaga kerja termasuklah buruh asing dan banyak lagi.

    Antara agensi-agensi yang terlibat termasuk Sekretariat Wawasan Brunei 2035, Ease of Doing Business, DARe, Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan, Bahagian Pendapatan, Pusat Kebangsaan e-Kerajaan (EGNC), Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, JobCentre Brunei, Jabatan Bandaran, Jabatan Eksais dan Kastam Diraja, Jabatan Daerah Tutong serta beberapa agensi kerajaan dan swasta lain yang terlibat.

    Sepanjang acara sehari itu, beberapa taklimat telah dijalankan termasuk mengenai Sekretariat Wawasan 2035 yang disampaikan oleh Pegawai Ekonomi Kanan, Dayang Nor Edzalina binti Haji Idris; ‘Perintah Sijil dan Logo Halal’ oleh pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Liyana binti Julaini; ‘Pelabelan Produk Nutrien dan Ujian Jangka Hayat’ oleh wakil Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan ‘Bagaimana melindungi logo perniagaan dan perkara-perkara berkaitan dengan harta intelek yang lain’ oleh Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO).

    Acara turut menampilkan sesi perkongsian bersama pengusaha-pengusaha tempatan iaitu Pengusaha Mumtaz Collection, Syedah Siti Sarah binti Haji Syed Anayatullah Syah dan Pengusaha Uncle J’s Grill and Sandwiches, Haji Mohd Sabri bin Haji Suhaili.

    Sesi taklimat turut diadakan di Dewan Utama, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
    Orang ramai bertanya dan berkongsi ilmu bersama beberapa agensi yang ikut serta di Hari Terbuka Keusahawanan DARe di Tutong, kelmarin.

    Selain itu, bengkel penulisan pelan rancangan perniagaan turut diadakan oleh LiveWIRE.

    Hadir pada acara tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam. Turut hadir ialah para pelajar dari beberapa buah sekolah menengah di daerah ini, pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Perniagaan dan orang ramai.

    Salah seorang pelajar IBTE Kampus Perniagaan yang ditemui, Awangku Bahri Izzuddin bin Pengiran Haji Ali berkata, beliau amat minat berkecimpung dalam bidang perniagaan dan dengan adanya Hari Terbuka Keusahawanan itu dapat memberikan pengajaran dan memberikan kemudahan kepada bakal pengusaha-pengusaha yang lain.

    Manakala itu, salah seorang pengunjung, Awang Mohd Rafiuddin bin Jeffridin yang mempunyai perniagaan dalam menjual karpet pula berkata, untuk menjalankan sesebuah perniagaan mestilah bermula daripada kecil dahulu.

    Beliau tidak menafikan bahawa setiap perniagaan itu mestilah mengikut undang-undang yang disediakan oleh kerajaan. Oleh itu, beliau menyarankan bakal pengusaha atau pengusaha-pengusaha tempatan akan dapat berkunjung ke acara seumpamanya untuk mengetahui lebih lanjut dalam menjalankan perniagaan dengan betul.

    Beliau juga menyatakan harapan agar EOD akan dapat dijalankan dari semasa ke semasa bagi membantu orang ramai khususnya bagi mereka yang akan membuka perniagaan di negara ini.

    EOD merupakan salah satu inisiatif berterusan DARe yang diadakan di keempat-empat daerah dengan tujuan mengemas kini orang awam mengenai peningkatan yang dibuat kepada ekosistem perniagaan serta isu-isu pendaftaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan.

    Selain itu, hari terbuka tersebut juga dapat mewujudkan kesedaran para pengusaha mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi sektor kerajaan dan swasta khusus buat masyarakat perniagaan di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda