BELAIT, 18 JUN – Sekolah Menengah Perdana Wazir baru-baru ini menganjurkan sebuah program hari kerjaya dinamakan Perdana Root and Routes sebagai usaha untuk memperkasa pengetahuan pelajar mengenai pelbagai laluan kerjaya melalui sesi interaktif bersama para profesional daripada pelbagai sektor industri.
Menurut kenyataan dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), inisiatif itu membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan alumni sekolah serta wakil daripada organisasi strategik seperti Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Kumpulan Syarikat Serikandi, Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan beberapa agensi lain yang turut serta menjayakan acara berkenaan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, JSS, Kementerian Pendidikan, Dr Andree Asmara bin Haji Abidin. Turut hadir memeriahkan acara ialah para ibu bapa, penjaga, guru-guru serta pelajar sekolah.
Program Perdana Root and Routes dibahagikan kepada tiga aktiviti utama. Aktiviti pertama, Karusel Kerjaya iaitu menyaksikan tetamu mengunjungi gerai pameran setiap agensi bagi mendapatkan maklumat mengenai pengalaman kerjaya, keperluan kemahiran, serta kelayakan akademik yang diperlukan.
Aktiviti kedua, Sesi Perkongsian: Suara Inspirasi, memperlihatkan para penceramah jemputan berkongsi perjalanan dan cabaran sepanjang kerjaya mereka. Manakala aktiviti ketiga, Taklimat Persediaan Kerjaya Masa Depan iaitu sesi taklimat oleh pihak PPB. Kedua-dua aktiviti kedua dan ketiga telah dijalankan di bilik-bilik Blok Delima.
Antara objektif utama acara itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai hubungan antara kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran kerjaya.
Penekanan terhadap kepentingan prestasi akademik sebagai asas kepada masa depan yang cemerlang diharapkan dapat memberi motivasi baharu kepada para pelajar.
Majlis penutup menyaksikan Pengetua Sekolah Menengah Perdana Wazir, Awang Mohd Shamry bin Haji Mohd Sani, menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada agensi-agensi serta penceramah jemputan yang telah menyumbang kepada kejayaan program.
Selain itu, beliau turut menyerahkan hadiah kepada tiga pelajar yang berpakaian terbaik berdasarkan tema pelbagai kerjaya. Sebagai tanda penghargaan, cenderamata khas turut disampaikan kepada tetamu kehormat dan tetamu khas iaitu mantan Pengetua Sekolah Menengah Perdana Wazir, Pengiran Hajah Rahmah binti Pengiran Haji Abas, yang kini menjawat jawatan sebagai Pengetua Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
