Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukan berlagak sombong – Ben Amir

    Bukan berlagak sombong, sebaliknya pelakon yang popular melalui drama Sweet Dreams, Ben Amir, 30, mengaku sikapnya perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan orang lain.

    Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin berkata, dia meletakkan ‘dinding’ dalam diri bukan disebabkan mahu bersikap kurang ajar, sebaliknya punya alasan tersendiri.

    “Mungkin sesetengah orang suka dan mudah mesra, tetapi bukan saya. Memang diakui saya meletakkan ‘dinding’ di depan.

    “Bagaimanapun, bukan bermakna saya bersikap kurang ajar. Jika orang melayan dengan baik, saya layan orang dengan lebih baik, tetapi sekiranya ada yang terlebih dulu bersikap kurang ajar, maaf saya tidak akan layan,” katanya kepada media. Ben sedar dirinya dituduh sombong apabila enggan mengulas mengenai kru dan pelakon drama bersiri Demi dijangkiti COVID-19, beberapa bulan lalu.

    Dalam drama itu, Ben yang menjadi antara pelakon utama, terbang ke Scotland untuk menjalani penggambaran ketika dunia mula bergelut dengan pandemik itu. Bagaimanapun, Ben bernasib baik apabila pulang lebih awal dan disahkan negatif.

    Ben Amir menafikan dirinya berlagak sombong. – Agensi

    Namun, pengarah, Rahila Ali dan pelakon iaitu Puteri Aishah, Ashraf Muslim, Puteri Rayyana Rayqa serta beberapa kru disahkan positif COVID-19 sejurus pulang ke tanah air pada 31 Mac lalu. Menjelaskan mengapa dia enggan memberi komen mengenai isu COVID-19, Ben berkata, ketika itu, dia memerlukan masa dan menunggu semuanya reda.

    “Disebabkan itulah saya mengelak mengeluarkan kenyataan. Bagaimanapun, jika membabitkan perkara lain, saya tiada masalah berkongsi.

    “Saya tidak memilih media, sebaliknya ada masa, saya tidak menjawab pesanan kerana terlalu sibuk.

    “Saya menerima puluhan mesej yang ada antaranya saya tidak sempat baca, setiap hari. Saya bukan memilih bulu. Cuma saya rasa kurang selesa berkongsi semua perkara.

    “Saya tiada masalah memberi kerjasama dengan media, tetapi perlu berpada-pada. Jika membabitkan perkara terlalu peribadi, minta maaf saya tidak akan kongsi,” katanya.

    Pelakon drama Playboy Itu Suami Aku dan Suri Hati Mr Pilot itu berkata, dia tidak takut jika dirinya dipinggirkan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda