Bekas isteri Aliff Aziz, Bella Astillah, 25, tidak melihat tindakannya yang masih menjalinkan hubungan baik dengan penyanyi dan pelakon itu sebagai isu besar.
Tegasnya juga, komunikasinya secara langsung bersama bekas suami menerusi Instagram (IG) Live bukan bermakna mereka akan kembali bersama sebagai pasangan yang berkahwin.
“Tidak timbul soal nak rujuk atau sebaliknya apabila kami masih berhubung. Ia juga bukan seperti memberikan harapan kepada Aliff. Begitupun, warganet mempunyai pendapat dan pandangan mereka sendiri berkaitan hal ini. Saya pula tidak kisah apa yang mereka hendak fikirkan. Dengan segala pengalaman ditempuhinya, Aliff kurang yakin untuk tampil secara langsung di Instagram. Jadi, saya mengajaknya untuk turut serta apabila berbuat begitu. Terpulang apa orang di luar sana hendak fikirkan. Jika ada yang tidak suka kami berbuat demikian, mereka boleh sahaja tinggalkan IG Live itu dengan serta-merta. Dengan mengadakan IG Live bersama, saya nampak dia lebih yakin. Saya sendiri ingin memberikan semangat kepadanya. Apa sahaja yang berlaku, Aliff tetap bapa kepada anak kami (Ayden Adrean). Kami akan tetap buat IG Live bersama, selepas ini,” katanya yang ditemui pada sidang media Festival Havoc Food.
Bella yang semakin aktif dalam dunia lakonan dan nyanyian berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai tindakannya yang beberapa kali berkomunikasi secara langsung di Instagram bersama bekas suami, hingga mencetuskan persoalan dalam kalangan warganet, apakah mereka akan kembali bersama.
Ditanya mengenai keadaan Aliff, 28, yang kini berada di Singapura, Bella mengakui kurang maklum berhubung hal itu.
“Apa yang saya tahu, dia kini berusaha mendekatkan diri dengan agama, termasuk mengikuti kelas mengaji. Perkara sebegitu pastinya akan mendorong Aliff untuk lebih dekat dengan kebaikan. Apabila kita berbuat baik, insya-Allah Tuhan akan memberikan kebaikan juga untuk kita. Apa yang pasti juga, anak tetap menjadi sumber kekuatannya. Selebihnya, saya kurang arif,” katanya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan anak lelaki, Ayden Adrean, pada 8 Julai 2017.
Selepas berdepan beberapa kontroversi, pasangan ini sah bercerai pada Mei lalu. – Agensi
