Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bukan keputusan dangkal’

    Sentiasa menyokong setiap tindakan diambil suaminya, penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 37, percaya keputusan Shuib Sepahtu, 37, mengundurkan diri sebagai penyampai Hot FM adalah jalan terbaik.

    Bagaimanapun, penyanyi lagu Semakin itu berkata, ia bukanlah keputusan yang mudah bagi Shuib, apatah lagi, suaminya amat menyukai kerjaya dalam bidang penyiaran radio.

    “Bidang penyiaran radio antara kerjaya yang disukainya.

    “Dia sudah selesa dan menganggap rakan penyampai seperti keluarga. Jujurnya, Shuib sangat sayang pada keluarga di Hot FM.

    “Antara sebabnya, mereka tidak terus menghukum sebaliknya menghubungi dan memberikan sokongan moral ketika Shuib berdepan kontroversi serta tekanan.

    Siti Sarah menyokong keputusan suaminya, Shuib Sepahtu berundur daripada kerjaya penyampai radio kerana sudah lama difikirkan demi perniagaan. – Agensi

    “Alhamdulillah, rating Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie juga naik ketika mereka bersama.

    “Jadi, tidak mudah untuk Shuib berundur diri.

    “Bagaimanapun, keputusan meninggalkan kerjaya penyampai radio sudah lama difikirkannya. Saya menyokong 100 peratus kerana saya tahu suami bukanlah manusia berfikiran cetek.

    “Shuib tidak berfikir sesuatu perkara untuk jangka masa pendek dan melakukan perkara bersebab.

    “Dia juga lelaki yang mempunyai visi dalam hidup. Kadang kala, apa yang difikirkan tidak menjangkaui pemikiran saya,” katanya.

    Terdahulu, Shuib mengumumkan pengundurannya dari Hot FM selepas dua tahun mengendalikan segmen Geng Pagi Hot.

    Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya yang berakhir pada 31 Januari ini.

    Sarah berkata keputusan berundur disebabkan Shuib mahu memberi lebih perhatian pada perniagaan yang semakin berkembang.

    “Insya-Allah, perniagaan Bubblebee akan memiliki yayasan.

    “Ini perkara yang bukan kecil untuk dilakukan dan Shuib memikul tanggungjawab besar untuk melaksanakannya.

    “Selain itu, kami mahu melahirkan Bubblebee Studios, di mana akan menghasilkan filem dan pelbagai lagi. Sekarang, kami baru mula dengan saluran YouTube,” katanya.

    Dengan itu, Sarah tidak menafikan, buat masa ini, Shuib meletakkan kerjaya seni di tempat kedua selepas perniagaan.

    Tambahnya, keputusan itu juga dipengaruhi sokongan dan sambutan yang diberikan orang ramai terhadap perniagaan.

    “Walaupun kami melalui pelbagai cabaran dan kontroversi, masih ramai yang menyokong.

    “Jika berlaku pada orang lain, mungkin mereka sudah terduduk, tetapi atas izin dan pertolongan Allah, kami diberikan kekuatan untuk terus melangkah,” tambahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda