Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN,19 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan sokongan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bagi penetapan pemotongan gaji sebanyak $2 secara automatik daripada setiap warga perkhidmatan awam untuk disumbangkan ke Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Pemotongan gaji sebanyak $2 secara automatik itu adalah bagi setiap warga perkhidmatan awam yang beragama Islam dan bergaji bulan yang belum membuat sumbangan ke Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Pemotongan gaji ini akan dilaksanakan bermula Jun 2017, kata Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Yussof pada satu sidang media di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) di sini.
Menurut beliau, sumbangan $2 bagi setiap warga perkhidmatan awam tersebut bukannya mandatori, malah setiap individu masih mempunyai pilihan masing-masing, sama ada ingin menambah jumlah sumbangan atau boleh juga memilih untuk tidak menyertai skim sumbangan ini.
“Oleh yang demikian, mana-mana penjawat awam yang berhasrat untuk tidak menyertai skim sumbangan ini atau ingin menambah jumlah sumbangan, bolehlah berbuat demikian dengan berurusan secara pentadbiran melalui bahagian kewangan di kementerian atau jabatan masing-masing dan mengisi borang khas yang disediakan.

“Manakala penjawat awam yang sebelum ini sudah membuat sumbangan melalui pemotongan gaji juga dialu-alukan untuk menambah sumbangan mereka,” jelas beliau.
Bagi penjawat awam yang bukan beragama Islam pula, tidak ada halangan untuk mereka membuat sumbangan ke Tabung Dana Pembinaan Masjid melalui pemotongan gaji.
Jika penjawat awam tidak memberi maklum balas sehingga 31 Mei 2017, iaitu tidak memberi makluman bahawa mereka memilih untuk tidak menyertai skim sumbangan ini, maka pemotongan gaji secara automatik sebanyak $2 akan dibuat mulai bulan Jun 2017, jelas Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 4 Jun 2015 hingga 31 Mac lalu, jumlah kutipan terkumpul Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam ialah adalah sebanyak $4,951,861.40.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak $780,608.61 adalah kutipan sumbangan melalui pemotongan gaji daripada seramai 5,031 orang warga perkhidmatan awam.
Manakala, projek pertama yang akan dijalankan menggunakan peruntukan kewangan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam ialah pembinaan Masjid Kampung Tanjung Bunut, Daerah Brunei dan Muara, dengan kos pembinaan sebanyak $3.5 juta.
Dalam pada itu, kaedah-kaedah kutipan tabung dana yang telah dilaksanakan sebelum ini masih berjalan seperti biasa, iaitu melalui cara-cara berikut seperti Standing Order Contributions, iaitu pemotongan wang melalui arahan tetap kepada bank ke atas akaun penyumbang, Direct Walk-in Contributions, iaitu sumbangan wang ringgit melalui kemasukan terus ke Akaun Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, menyerahkan sumbangan terus ke Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pledging atau Penyataan Ikrar, Memasukkan sumbangan terus ke dalam tabung-tabung dana di masjid-masjid dan bangunan-bangunan tertentu, sumbangan melalui perkhidmatan SMS dan sumbangan melalui pemotongan gaji bagi pegawai dan kakitangan kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Semua hasil kutipan yang diterima akan dimasukkan ke dalam Akaun Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, sama ada ke dalam nombor akaun: 00-001-01-0047148 di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), atau nombor akaun: 002109403102068 di Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).
Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid ditubuhkan sebagai wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala daripada membina masjid di samping memberi peluang keemasan kepada setiap orang Islam untuk menanam saham di akhirat.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membangun masjid kerana mengharap keredaan Allah, maka Allah akan bangunkan untuknya sebuah rumah di Syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).