NEW YORK, 27 OGOS – Roger Federer menyatakan bahawa permainan hambarnya dalam kemenangan pusingan pertama ke atas pemain kelayakan dari India, Sumit Nagal di Terbuka AS ‘bukan perkara buruk’.
Pemain pilihan ketiga, Federer, juara lima kali di New York, menghasilkan 19 unforced errors, tewas mengejut dalam set pertama menentang pemain di ranking ke-190.
Federer, 38, bangkit untuk mara dengan keputusan 4-6, 6-1, 6-2, 6-4 dan meraih kemenangan kerjaya ke-1,224, sekali gus menempah slot menentang Damir Dzumhur. “Mungkin ia bukan perkara buruk untuk mara daripada perlawanan seperti ini. Ia serupa di Wimbledon ketika saya tewas dalam set pertama di sana, juga dalam pusingan pertama,” kata Federer, yang tewas dalam perlawanan epik lima set kepada Novak Djokovic bulan lepas di All England Club.
“Akhirnya anda lihat pada tiga set terakhir, dan ia sangat bagus. Ia menggalakkan,” jelas Federer. – AFP