Friday, April 25, 2025
24.5 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Bukan scam tapi Aaron Aziz dahulukan duit tiket umrah

Bersimpati dengan nasib jemaah yang terkandas daripada mengerjakan ibadah umrah, pelakon Datuk Aaron Aziz sanggup mengeluarkan wang sebanyak kira-kira RM90,000 untuk menampung kos pengurusan agensi berkenaan.

Kata Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, sekiranya dia tidak mengeluarkan wang tersebut, seramai 40 jemaah tidak dapat melaksanakan ibadah umrah mengikut waktu yang dirancang.

“Sebenarnya kalau saya tak keluarkan duit, 40 orang jemaah ini akan tersangkut macam itulah. Saya tengok gambar-gambar semua jemaah yang merupakan pakcik dan makcik.

“Jadi kalau saya tak belikan tiket dulu, mereka takkan akan dapat pergi umrah,” katanya kepada mStar.

Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Raya Aidil-Fit-Rizz iQIYI 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.

Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Aaron memberitahu ia bukanlah penipuan sebaliknya berlaku kesilapan dalam pengurusan agensi berkenaan.

“Saya tak guna perkataan tipu atau scammer tapi mungkin salah percaturan kerana umrah ini bukan perniagaan macam pergi London atau Paris. Perjalanan umrah ini aliran tunai dia tinggi,” kongsinya.

Dalam pada itu, Aaron memberitahu agensi itu kini sedang berusaha membuat pembayaran balik kepada dirinya.

Dia yang berperanan sebagai pengarah pemasaran bagaimanapun enggan memanjangkan perkara tersebut dengan mengambil tindakan undang-undang kerana bersimpati dengan nasib pekerja kelak.

“Kalau saya ambil tindakan, syarikat itu akan tutup dan saya tak akan dapat duit saya semula dan selebihnya ramai pekerja tak bersalah akan hilang kerja mereka. tapi tindakan pun tetap kena ambil,” katanya.

Sementara itu, Aaron berkata dia dan agensi berkenaan sudah lapan tahun bekerjasama namun tidak menyangka kejadian itu akan berlaku.

“Selepas dari perkara itu memang tamatkan kerjasama, sudah tiada jodoh lagi,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Aaron meluahkan rasa terkilan apabila mengalami kerugian hampir RM90,000 dipercayai akibat ditipu oleh sebuah agensi pengurusan umrah. Lebih menyedihkan lagi apabila dia tidak menerima bayaran gaji hasil kerjasama dengan pihak berkenaan. – Agensi

Aaron akhirnya jelaskan kekeliruan yang berlaku. – mStar
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda