Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukan sekadar untuk pancing ikan kecil

    Oleh Raz AS –

    Kaedah pancingan ultralight atau juga dikenali sebagai UL sudah lama hadir di arena pancing sedunia. Namun begitu, masih ramai yang kurang tahu atau keliru dengan setup peralatan yang sesuai digunakan untuk kaedah UL ini.

    Ini sebenarnya adalah disebabkan oleh perbezaan pendapat di kalangan pemancing di seluruh dunia terhadap apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kaedah UL itu.

    Sebelum kita menyentuh lebih mendalam lagi tentang kaedah UL ini, ada baiknya untuk kita sama-sama mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kaedah UL dan apakah yang menyebabkan terdapatnya perbezaan tafsiran terhadap kaedah pancingan ini.

    Seperti mana namanya ultralight yang bermaksud ultraringan dalam bahasa Melayu, memberi gambaran kepada kita bahawa kaedah pancingan ini memerlukan penggunaan peralatan pancing seperti tali, joran, reel, bahkan juga lure yang ringan atau kecil. Ringan dan kecil di sini membawa makna yang sama, ringan bukan bermaksud ringan dari segi berat peralatan yang digunakan.

    Apa yang menyebabkan terdapatnya perbezaan pendapat terhadap peralatan apakah yang dimaksudkan sebagai UL itu adalah disebabkan makna namanya itu sendiri. UL merupakan kata sifat atau kata adjektif yang mana pengertiannya adalah subjektif.

    Menggunakan peralatan UL tidak semestinya bermakna ikan yang dipancing semuanya bersaiz kecil tapak tangan sahaja.
    – Fishing Discoveries

    Ini bermaksud apa yang ringan atau kecil bagi sesetengah pemancing yang memburu sesuatu spesies ikan itu tidak semestinya ringan atau kecil bagi pemancing lain yang memburu spesies berlainan.

    Sebagai contoh, kebanyakan peralatan pancing yang membanjiri pasaran adalah direka khusus untuk memancing spesies ikan air tawar seperti ikan bass. Meskipun rating pada batang jorannya memaparkan rating sederhana, sederhana berat dan berat, namun ia masih dianggap sebagai peralatan yang sangat ringan sekiranya digunakan untuk memancing spesies gamefish air masin yang jauh lebih besar dan kuat.

    Oleh itu, jika seseorang peman-cing itu menggunakan set peralatan bass dengan rating berat untuk memancing ikan layaran atau mersuji, si pemancing itu sudah boleh dikatakan sedang mempraktikan teknik pancingan UL.

    Namun di kebanyakan tempat secara amnya kaedah UL lebih dikenali berdasarkan penggunaan peralatannya seperti joran yang mempunyai rating UL. Jika begitu bagaimana pula dengan kekuatan talinya?

    Adakah awda sudah boleh dikatakan menggunakan kaedah UL dengan menggunakan joran rating UL sahaja, sedangkan kekuatan tali tidak diambil kira? Contohnya joran UL berkekuatan 6lb tetapi dipadankan dengan tali 10lb.

    Ataupun joran rating ringan berkekuatan 12lb tetapi menggunakan tali berkekuatan 6lb. Adakah ia juga boleh dianggap sebagai kaedah UL? Persoalan ini jika ingin dibincangkan secara mendalam memang boleh mengelirukan dan memeningkan kepala.

    Tidak hairanlah timbul pelbagai pendapat yang berbeza mengenainya. Oleh itu menurut pemahaman universal kaedah UL itu adalah apabila kita menangkap ikan yang jauh lebih besar berbanding kekuatan setup pancing yang digunakan.

    Sebenarnya tidak kisahlah apa pun tafsiran seseorang itu terhadap kaedah pancingan UL, dalam hal ini tiada yang salah dan yang betul kerana ia bergantung pada seseorang itu berdasarkan pengalaman dan pengetahuan masing-masing.

    Joran rating UL dipercayai dicipta dan diterajui penggunaannya oleh pemancing-pemancing di Jepun. Joran ini mempunyai batang yang sangat lembut dan halus, selalunya panjangnya 4 hingga 6 kaki dan mempunyai rating kekuatan 1-6lb. Berat maksimum lure yang digunakan untuknya pula adalah kurang daripada 7 gram.

    Melihat daripada spesifikasi joran ini, dapatlah kita ketahui bahawa kekuatan tali yang perlu kita gandingkan bagi kaedah UL ini juga adalah berkekuatan 6lb ke bawah. Tali terbaik untuk digunakan adalah daripada jenis braided kerana ia lebih halus berbanding tali-tali lain dan lebih sensitif mengesan getuan.

    Daripada saiz jorannya pula, gandingan reel yang sesuai adalah saiz 500-1000. Sesetengah jenama reel mempunyai bentuk yang lebih kecil bagi saiz yang sama berbanding jenama lain, dalam hal ini bolehlah memadankannya dengan saiz yang lebih besar contohnya saiz 2000.

    Kelebihan menggunakan saiz 500 adalah beratnya yang ringan dan tidak mudah penat untuk melakukan lontaran berulang-ulang, tetapi si pemancing terpaksa mengorbankan sedikit panjang tali dan berkemungkinan juga jauh lontaran. Manakala saiz 1000 yang lebih besar memberikan kelebihan kepada si pemancing, dari segi kapasiti talinya, terutama ketika pertarungan atau lontaran jauh.

    Menggunakan peralatan UL tidak semestinya bermakna ikan yang dipancing semuanya bersaiz kecil tapak tangan sahaja. Kadang-kadang ikan besar juga akan memakan lure kecil. Menggunakan kaedah UL memberikan cabaran yang lebih hebat kepada pemancing di mana kesilapan kecil boleh mengakibatkan ikan terlepas atau tali putus. Demikian itulah ramai yang menjadi peminat tegar kaedah ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda