Bukan semua benda boleh diwaqaf

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri Satu

Selain daripada amalan bersedekah, berwaqaf juga merupakan salah satu amalan berkebajikan yang turut dilakukan oleh sesetengah umat Islam di negara ini. Tanah untuk tapak masjid atau sekolah, rumah, masjid, kerusi roda, buku-buku dan yang seumpamanya merupakan contoh benda yang diwaqafkan oleh individu atau kumpulan individu atas nama sesebuah organisasi atau jabatan kepada pihak-pihak tertentu.

Dalam Islam, ibadah waqaf adalah satu amalan yang dipandang mulia kerana orang yang melaksanakannya berupaya menginfakkan hartanya kepada orang lain dengan tujuan untuk membantu atau memudahkan orang ramai, di samping mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah. Keistimewaan ibadah waqaf ini ialah ganjaran pahala itu tetap berterusan diterima oleh si pewaqaf selama mana harta atau benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan masih dimanfaatkan oleh orang lain walaupun si pewaqaf itu sudah meninggal dunia.

Maksud waqaf menurut syarak

Dari segi syarak, waqaf bermaksud menahan harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut adalah kekal dengan cara pewaqaf memutuskan tasharuf (gunapakai) terhadap benda atau barang yang diwaqafnya, untuk diserahkan bagi keperluan yang diharuskan.

Menahan harta bermaksud harta waqaf itu tidak boleh dijual, dihibah (dihadiahkan), digadaikan, diwasiatkan atau dijadikan harta pusaka.

Secara dasarnya berwaqaf dalam Islam ialah:

a. Menahan suatu harta atau benda yang diwaqafkan dan hanya boleh diambil manfaat daripadanya oleh orang yang diberi waqaf atau oleh orang awam, iaitu mengikut niat orang yang berwaqaf.

b. Pemilikan harta waqaf berpindah daripada tuan punya harta atau benda yang diwaqafkan itu kepada milik Allah dengan disyaratkan sighah (lafaz) untuk berwaqaf seperti seseorang berkata: “Saya waqafkan bangunan ini untuk dijadikan sekolah”.

Pembinaan masjid atau bangunan sekolah untuk membantu atau memudahkan orang ramai merupakan salah satu ibadah waqaf yang merupakan antara perkara yang disukai oleh syarak. – Agensi
Tanah untuk tapak masjid atau sekolah, rumah, masjid, kerusi roda, buku-buku dan yang seumpamanya merupakan contoh benda yang diwaqafkan. – Agensi
Mewakafkan kenderaan jenazah merupakan salah satu benda atau harta yang boleh memberikan manfaat kepada orang yang diberi waqaf atau orang awam. – Gambar fail serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid

Hukum waqaf

Waqaf adalah qurbah iaitu ibadah yang dilakukan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah. Ia merupakan perkara sunat yang digalakkan umat Islam melakukannya dan banyak ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang menjelaskan tentang ganjaran pahala bagi sesiapa yang melakukannya.

Dalil pensyariatan waqaf

Terdapat beberapa nash di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah yang menyentuh mengenai waqaf sama ada secara umum atau khusus. Antaranya:

1. Dalil daripada al-Qur’an:

a. Firman Allah yang tafsirnya:

“Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 261)

b. Firman Allah juga yang tafsirnya:

“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai (hakikat) kebaktian (yang sempurna) hingga kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan itu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah ali-‘Imran: 92)

Disebutkan di dalam kitab al-Mu‘tamad, sebaik-baik mendengar ayat dari surah ali-‘Imran, para sahabat r.a. melakukannya (untuk mencapai kebaktian) dengan berwaqaf.

2. Dalil daripada hadis:

a. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.a. yang maksudnya:

“Bahawasanya Saidina Umar bin al-Khathab mempunyai sekeping tanah di Khaibar, maka beliau datang menemui Rasulullah (untuk) menerima arahan Baginda mengenai apa yang perlu dilakukannya dengan tanah tersebut. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai sekeping tanah di Khaibar, aku tidak mempunyai harta yang tinggi nilainya daripada tanah itu, maka apa yang engkau perintahkan (kepadaku) mengenai tanah itu?”

Rasulullah menjawab: “Jika engkau mahu, tahan (tidak digunapakai) dan sedekah manfaatnya (dengan berwaqaf). Maka Umar bersedekah dengan tanah tersebut, tidak boleh dijual, tidak boleh dihadiahkan dan tidak boleh diwariskan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

b.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalnya, kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak shalih yang mendoakannya.” (Hadis riwayat an-Nasai’e)

Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadis yang telah dikemukakan di atas, jelas bahawa waqaf merupakan antara perkara yang disukai oleh syarak untuk diamalkan oleh orang-orang Islam sebab besar faedahnya dan berkekalan kegunaan dan manfaatnya kepada umat Islam.

Hikmah pensyariatan waqaf

Hikmah yang diperolehi bagi orang-orang yang berwaqaf amat besar, rugilah jika meninggalkannya seandainya mempunyai kelebihan harta dan wang ringgit. Antara hikmah terkandung di dalamnya ialah:-

1. Membuka pintu kebaikan yang banyak dan pahala yang berterusan bagi pewaqaf.

2. Menguatkan iman seseorang dengan menginfakkan (membelanjakan) hartanya di jalan Allah dan mengharap keredhaanNya pada perkara atau benda yang dia sendiri sangat suka dan dalam waktu yang sama berguna kepada individu yang lain.

3. Menyumbang kepada pewujudan perlindungan sosial dalam kehidupan dan perpaduan antara individu dalam masyarakat, antara mereka ada yang menawarkan sesuatu yang berguna kepada ahli masyarakat yang lain.

4. Menjalinkan hubungan antara kedudukan darjat yang berlainan dalam sesebuah masyarakat dan menyokong keperluan atau kepentingan awam.

5. Sama-sama memeduli keperluan yang berguna bagi masyarakat dan negara seperti masjid, hospital, tanah perkuburan, bangunan sekolah, perpustakaan dan yang lainnya.

6. Dengan berwaqaf dapat menyebarkan ilmu pengetahuan dan lain-lain kebajikan.