SEORANG pemuda ditemui sedang berlegar-legar di tepi sebatang tiang lampu berhampiran sebatang jalan. Habis dikais-kaisnya rumput-rumput dan kertas-kertas di bawah naungan lampu itu. Walaupun hari sudah larut senja, tapi pemuda itu tetap tercari-cari akan sesuatu di bawah sinaran lampu itu. Sikap pemuda itu menarik perhatian seorang makcik yang kebetulan sedang bersiap-siap untuk menutup kedainya. Lalu makcik itu datang dan bertanya: “Kenapa sejak tadi makcik tengok anak berlegar-legar di bawah tiang lampu ini?”
“Cincin saya makcik, hilang.” Kata pemuda itu. Makcik tadi kasihan dan turut sama-sama membantu mencari cincin itu. Namun, cincin itu tidak juga dijumpai. Lalu makcik itu bertanya lagi: “Betulkah cincin itu hilang di sini?”
“Siapa pula kata cincin itu terjatuh di sini…Taklah.” Jawab pemuda itu. “Habis, cincin tu jatuh di mana?” tanya makcik. “Di sana, di tempat gelap itu,” ujar pemuda itu menunjukkan ke satu kawasan gelap yang agak jauh dari situ. “Laa… tapi mengapa kamu mencarinya di sini?” makcik itu kehairanan. “Yalah makcik, saya carilah di tempat yang terang, di bawah tiang lampu ini. Di sini mudah. Kalau cari di sana kan susah. Gelap?” jawabnya selamba. Makcik itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
Pengajaran
Manusia kerap memilih jalan pintas untuk senang dan berjaya. Mereka cenderung memilih jalan senang untuk senang, walaupun tahu kesenangan itu tidaklah sesenang melalui cara itu. Padanlah sunnatullah memang Allah tetapkan no pain, no gain. Bukankah syurga itu dipagari dengan segala kesusahan? Justeru lakukan kebaikan yang menuju syurga itu sedaya upaya walaupun sukar dan mencabar. Kerana itu sahaja jalannya. Tiada yang lain!