Pelakon Scarlett Johansson memutuskan untuk tidak melayan permintaan bergambar bersama peminat kerana berpegang kepada prinsip untuk memisahkan kehidupan peribadi dan kerjayanya sebagai seorang artis.
Menurut Entertainment Weekly, Scarlett mengakui bahawa keputusan itu mungkin mengecewakan ramai peminat, tetapi dia menegaskan bahawa ia tidak bermaksud dia tidak menghargai mereka. Dia menjelaskan bahawa ketika tidak bekerja, dia lebih suka untuk menikmati masa peribadi tanpa gangguan.
“Saya tahu keputusan ini akan menyinggung ramai peminat. Ini tidak bermaksud saya tidak menghargai mereka.
“Namun saya selalu menolak dengan memberitahu saya tidak bekerja. Ketika tidak bekerja, saya hanya mahu melakukan hal saya sendiri,” katanya memetik laporan mStar.

Scarlett, yang terkenal melalui wataknya dalam filem Black Widow, turut mengungkapkan bahawa langkah itu diambil untuk melindungi privasi anak-anaknya, Rose yang berusia 10 tahun dan Cosmo yang berusia 3 tahun.
“Menjaga privasi anak-anak adalah perkara paling berharga bagi saya. Saya akan menjaga privasi ini selama yang mungkin,” ujarnya.
Selain itu, Scarlett mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai akaun media sosial, kerana ia merupakan salah satu cara bagi dia menjalani kehidupan yang lebih seimbang.
Walaupun dia mengakui bahawa media sosial adalah platform yang baik untuk berkongsi maklumat dan meningkatkan kesedaran, dia mengelak daripada menggunakannya kerana khuatir akan ketagihan. – Agensi