Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukit Bendera sesuai bagi peminat aktiviti lasak

    Oleh Noorazlina Jindeh

    BEAUFORT – Sebut nama Bukit Bendera pastinya ramai akan membayangkan ia terletak di Pulau Pinang, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa di daerah Beaufort juga mempunyai nama tempat yang sama, terletak kira-kira 75 kilometer dari Kota Kinabalu.

    Bukit Bendera setinggi 1,399 meter dari aras laut itu menjadi kawasan pilihan bagi penggemar aktiviti lasak terutamanya penduduk sekitar daerah Beaufort termasuk Membakut untuk mendaki.

    Penulis baru-baru ini buat pertama kali berpeluang mendaki bukit berkenaan yang hanya terletak kira-kira lima minit perjalanan dari Pekan Beaufort dengan melalui jalan raya berturap.

    Di pintu masuk ke kaki bukit itu terletak papan tanda ‘Selamat Datang, Bukit Bendera, Beaufort’ dan sepanjang 300 meter pertama laluan itu perlu melalui batuan kerikil dan bagi mengelak tersesat, pendaki perlu melihat denai yang menjadi laluan ke puncak bukit.

    Di laluan itu, terdapat sebatang anak sungai kecil dan air terjun setinggi kira-kira tiga meter dan selepas melalui sungai itu pendaki perlu mendaki kawasan tanah berbukit yang dilitupi pokok tumbuh meliar.

    Bukit Bendera, Beaufort terletak kira-kira 75 kilometer dari Kota Kinabalu. – Bernama
    Oleh sebab keadaan laluan agak curam dan berlumpur disebabkan hujan, tali diikat pada batang pokok bagi memudahkan pendaki untuk berpaut. – Bernama

    Akar kayu di sepanjang laluan itu juga amat membantu sebagai tangga untuk dipijak kerana tanah di laluan itu agak licin terutama selepas hujan.

    Ketika penulis mendaki, keadaan laluan berlumpur apabila hujan pada malam sebelum pendakian dan beberapa laluan juga curam namun dengan adanya tali yang diikat pada batang pokok memudahkan pendaki untuk berpaut.

    Dalam perjalanan pendakian, penulis bertemu dengan tiga pendaki tempatan termasuk seorang wanita dan sempat berbual dengan mereka, dan apabila melihat pakaian penulis yang tidak berpakaian seperti pendaki, mereka menasihatkan penulis supaya tidak meneruskan pendakian.

    Bagi penulis, dengan berseluar jeans dan memakai sandal bukan halangan untuk mendaki bak kata pepatah “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” dan untuk tidak menghampakan hati, penulis perlahan-lahan mengorak langkah di belakang pendaki itu sehingga mereka hilang di pandangan.

    Pada masa sama rakan penulis juga memberi keyakinan bahawa kawasan itu selamat jika mendaki berseorangan apabila penulis bertanya kepadanya melalui aplikasi Whatsapp.
    Sepanjang perjalanan pendakian itu, di kiri dan kanan laluan dipagari dengan pokok kayu, pakis hutan dan bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan.

    Di laluan itu juga terdapat beberapa plastik tergantung yang pada fahaman penulis digunakan sebagai tong sampah kerana laluan itu kelihatan bersih daripada sampah.

    Papan tanda sebagai petunjuk jarak ke puncak juga turut dibina di beberapa lokasi dan bagi penulis pendakian ke puncak Bukit Bendera itu amat sesuai bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan aktiviti lasak.

    Hampir 40 minit pendakian ke puncak, pemandangannya mampu menghilangkan rasa letih apabila melihat alur Sungai Padas dan kawasan sekitar Beaufort dari puncak.

    Di sana, turut disediakan pondok untuk pendaki berehat sambil menikmati suasana dan pemandangan sekeliling yang dilitupi kehijauan hutan serta bunyi hidupan liar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda