Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukit itu bukan biasa

    Oleh Aqilah HMS – 

    Kisah ini baru saja terjadi pada aku tahun ini. Aku masih ingat petang itu. Cuaca redup, angin sepoi-sepoi dan aku nekad untuk mendaki Bukit Lalang seorang diri.

    Kononnya nak ‘release stress’ selepas seminggu kerja menimbun. Waktu aku mula mendaki, matahari sudah mula condong. Jam di tangan menunjukkan pukul 6:45 petang.

    Orang selalu pesan, jangan daki bukit waktu Maghrib. Tapi aku bukan jenis percaya benda-benda macam tu. Lagi pun, bukit tu bukan jauh sangat. Naik lebih kurang 20 minit, lepas tu turun balik. Lagipun aku dah biasa naik waktu senja.

    Tapi petang tu… lain. Sunyi. Terlalu sunyi. Burung pun macam dah hilang entah ke mana.

    Lima minit sebelum sampai ke puncak, azan Maghrib berkumandang dari surau bawah sana. Tiba-tiba bulu roma aku meremang. Entah kenapa, rasa macam ada yang memerhati dari celah-celah semak. Aku cepat-cepat pandang belakang kosong.

    Gambar Freepik

    Sampai di puncak, aku duduk sekejap, tarik nafas. Tapi… udara jadi sejuk sangat tiba-tiba.

    Dan bau… ada bau macam bunga melur, kuat menusuk hidung. Waktu tu aku mula rasa tak sedap hati.

    Kemudian aku dengar bunyi… orang ketawa. Perlahan, nyaring, seolah-olah dari seorang perempuan. Aku cuba beranikan diri, bangun dan berpusing, tapi tiada sesiapa.

    Aku mula turun. Langkah makin laju. Tapi yang pelik—jalan yang aku lalu tadi… macam tak sama. Tiba-tiba terasa jauh sangat, dan gelap makin cepat menelan sekeliling.

    Dan waktu aku melangkah dekat satu pohon besar, aku nampak dia. Seorang perempuan… rambut panjang menutupi muka, pakai baju putih, berdiri tegak di tengah jalan. Tak bergerak langsung.

    Aku terkaku. Jantung macam nak pecah.

    Dia angkat kepala perlahan-lahan. Mata dia… kosong. Tapi senyum dia… ya Allah, senyum dia buat lutut aku menggigil. Tanpa sedar, aku jerit dan lari, tak toleh belakang.

    Entah macam mana aku sampai bawah, aku tak ingat. Yang aku tahu, bila sampai bawah, azan Isyak baru sahaja habis berkumandang. Maksudnya… aku hilang lebih sejam di atas bukit tu.

    Sejak malam tu, aku tak pernah naik Bukit Lalang waktu Maghrib lagi. Dan setiap kali aku lalu kawasan tu… bau bunga melur itu masih kadang-kadang datang menyapa.

    Dan aku tahu… dia masih ada di sana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda