Thursday, September 12, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukti kari sudah digunakan sekitar 2,000 tahun lalu

    VIETNAM/CANBERRA, 23 JULAI – Para penyelidik dari Australia telah menemui sisa-sisa kari yang berusia ribuan tahun di Vietnam, yang mendedahkan penemuan baharu tentang laluan perdagangan kuno.

    Dipercayai sebagai kari paling awal yang diketahui di Asia Tenggara, hidangan berusia 2,000 tahun itu ditemui oleh pasukan dari Universiti Nasional Australia (ANU) di tapak arkeologi Oc Eo di selatan Vietnam yang jauh.

    Analisis mikrosisa yang ditemui pada permukaan alat penggiling batu dalam satu kajian yang diterbitkan kelmarin menunjukkan pelbagai rempah seperti halia, kunyit, cengkih, buah pala dan kayu manis.

    “Kajian kami menunjukkan kari kemungkinan diperkenalkan ke Asia Tenggara oleh pendatang semasa zaman awal hubungan perdagangan melalui Lautan Hindi,” kata Wang Weiwei, pengarang utama kajian itu, dalam satu kenyataan media.

    “Memandangkan rempah-rempah ini berasal dari pelbagai lokasi berbeza, adalah jelas terdapat sekumpulan orang menjalankan perjalanan jarak jauh untuk tujuan perdagangan.”

    Wang menyatakan perdagangan rempah secara global telah menghubungkan budaya dan ekonomi di Asia, Afrika dan Eropah sejak zaman klasik serta bandar pelabuhan Oc Eo memainkan peranan penting dalam perdagangan ini sebagai persimpangan budaya dan perdagangan.

    Penggalian terdahulu di Oc Eo telah menemukan barang-barang dari China, India dan Mediterranean, mendedahkan peranan bandar pelabuhan itu sebagai hab perdagangan utama. – Xinhua

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda