Bukti persahabatan mendalam kerajaan China dan Brunei

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Negara Brunei Darussalam menerima sumbangan sebanyak 100,000 dos vaksin Sinopharm dari Republik Rakyat China di mana sumbangan berkenaan merupakan bukti persahabatan mendalam daripada kerajaan dan rakyat China serta sokongan kukuhnya kepada usaha Brunei untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Selain daripada vaksin, turut disumbangkan ialah sebanyak 102,400 picagari, jelas Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dalam ucapan ringkas semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Vaksin dari kerajaan Republik Rakyat China kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Lapang Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

Hadir pada majlis berkenaan sebagai wakil Kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

PYT Yu Hong menyatakan perasaan besar hati kerana dapat berusaha bersama kerajaan Brunei dalam usahanya untuk membendung penularan pandemik di negara ini serta menjaga kese-jahteraan rakyat dan penduduk Brunei. Dengan COVID-19 terus merebak di seluruh dunia, varian sangat berjangkit yang merebak dengan lebih cepat, vaksin merupakan senjata yang berkesan untuk mengatasi pandemik berkenaan dan menghidupkan kembali ekonomi.

Dalam hubungan itu, PYT Yu Hong berkata bahawa China menjunjung tinggi visi sebuah komuniti kesihatan bersama bagi manusia sejagat dan telah menyeru secara konsisten mengenai keperluan bagi kerjasama yang lebih erat bagi vaksin.

Sumbangan sebanyak 100,000 dos vaksin Sinopharm dari Republik Rakyat China kepada Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga mengongsi bahawa sehingga kini, China telah menyediakan lebih satu bilion dos vaksin China kepada lebih 100 buah negara dan organisasi antarabangsa. Presiden China, Xi Jinping juga menyatakan bahawa pada 2021, China akan berusaha untuk menyediakan dua bilion dos vaksin kepada dunia dan mengambil keputusan untuk menyumbang sebanyak AS$100 juta kepada COVAX bagi pengagihan vaksin ke negara-negara membangun.

China akan terus menyumbang untuk mencapai akses saksama kepada vaksin COVID-19 bagi negara-negara membangun, ulas PYT Yu Hong lagi.

Beliau berkata bahawa sejak 2020, dalam menghadapi pandemik, Brunei dan China telah mengukuhkan lagi kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang dan persahabatan di antara rakyat kedua-dua buah negara yang lebih mendalam serta berkembangan menerusi kerjasama antipandemik.

Negara Brunei Darussalam telah dilanda gelombang kedua penularan wabak COVID-19 baru-baru ini dan dengan kepimpinan tegas serta bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan Brunei telah mengambil langkah pengawalan dan pencegahan yang lebih kukuh serta menyaksikan warga Brunei bersatu menangani penularan berkenaan.

PYT Yu Hong berkata bahawa selepas penularan gelombang kedua, syarikat China, BGI memberikan respons yang pantas kepada permintaan Kerajaan Brunei dalam menyelaras penghantaran barangan serta pakar untuk membangunkan makmal mudah alih Huo Yan yang pertama di Asia Tenggara, Makmal Brunei COVID-19 AirLab di mana ia membantu dalam meningkatkan kapasiti ujian SARS-CoV-2 harian.

Di samping itu, Hengyi Industries turut menyumbangkan peralatan dan bekalan kepada makmal berkenaan bagi menyokong operasi lancar dan selamat, Evyd Technology pula terus menaikkan taraf aplikasi BruHealth yang memainkan peranan penting dalam pengesan kes dan pengurusan kuarantin serta Syarikat Pelabuhan Muara yang mengecualikan bayaran pelabuhan dan terminal bagi semua peralatan dan bekalan perubatan.

Sejak 2020, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China bekerjasama rapat dalam menangani penularan wabak COVID-19. Negara Brunei Darussalam telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada Republik Rakyat China dalam menangani impak pandemik berkenaan pada Mac 2020.

Sumbangan vaksin sebanyak 100,000 dos itu merupakan yang kedua yang diterima daripada Republik Rakyat China selepas sumbangan pertama sebanyak 52,000 dos vaksin Sinopharm yang diterima pada Februari 2021.

Tahun 2021 merupakan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik ke-30 di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, yang mana adalah pencapaian yang bermakna antara kedua-dua buah negara.

Sebagai rakan kongsi kerjasama strategik, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus bekerjasama rapat dalam mengeratkan lagi hubungan kerjasama di dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian dan perikanan, kesalinghubungan, pelancongan, kesihatan, pertahanan dan pertukaran rakyat.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China juga terus bekerjasama rapat dalam isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.