Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Bukti dan keterangan yang diperolehi daripada saksi bank A bagi kes terhadap Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin selesai dikemukakan, hari ini, oleh pihak pendakwaan.
QC Jonathan Caplan membacakan keterangan daripada ketua jabatan pengumpulan, pemungutan dan pemulihan bank A yang menyelia Unit Kebankrapan, yang mana dalam keterangannya mengesahkan ada menyerahkan tiga keping surat kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR) dan surat berkenaan diterima daripada Ramzidah untuk memaklumkan bank A bahawa wang tunai yang dikeluarkan daripada akaun Penerima Rasmi telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap.
Saksi berkenaan mengetuai jabatan sejak 2010. Keterangannya turut menyebut bahawa bank A tidak pernah menerima arahan daripada mana-mana timbalan penerima rasmi mahupun mahkamah untuk membuka akaun simpanan tetap di bawah nama mereka atau pun di bawah nama penghutang di bank tersebut.
Dalam pengetahuan saksi ini lagi, tidak ada akaun simpanan tetap di bawah mana-mana timbalan penerima rasmi wujud di bank A.
Prosiding diteruskan lagi dengan memanggil juruwang-juruwang dari bank B yang memberi keterangan mengenai transaksi simpanan yang diproses ke dalam akaun bersama Ramzidah dan Haji Nabil yang melibatkan nota $10,000.
Salah seorang saksi memberitahu mahkamah bahawa pemegang akaun sendiri datang ke bank B dan saksi itu sendiri mencatat nombor kad pengenalan dan tarikh lahir pelanggan itu.
Kes pendakwa adalah maklumat yang dicatatkan saksi berkenaan bertepatan dengan maklumat Haji Nabil.
Semasa pemeriksaan balas, QC Simon Farrell berhujah bahawa saksi berkenaan tidak mungkin dapat mengingati siapa yang membuat simpanan pada hari itu memandangkan kejadian berlaku pada 2015.
QC Simon mengusulkan bahawa maklumat yang dicatat saksi mungkin diperoleh daripada sistem bank dan bukannya daripada melihat pada kad pengenalan secara fizikal.
Namun saksi tetap mengekalkan keterangannya dengan menyatakan bahawa transaksi yang melibatkan sejumlah wang besar akan memerlukan kad pengenalan untuk dikemukakan kepada bank.
Keterangan daripada pegawai-pegawai bank A, B dan C juga didengar di hadapan Hakim Gareth John Lugar-Mawson.
Setiap pegawai menerangkan tugas mereka yang melibatkan membuat laporan penggunaan nota $10,000 yang dikeluarkan dan diterima oleh bank kepada Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam urusan perniagaan biasa.
Mengikut laporan yang dikemukakan bank A, sebanyak 194 keping nota $10,000 dikeluarkan kepada Ramzidah sepanjang tempoh antara 2012 dan 2017.
Antara November 2012 dan Disember 2017, bank B menerima 49 keping nota berjumlah $10,000 daripada Ramzidah dan 52 keping lagi nota dengan jumlah sama daripada Haji Nabil. Pihak pendakwa turut memainkan dua rakaman suara panggilan balik oleh bank B berhubung transaksi pemindahan bernilai tinggi yang dibuat Haji Nabil.
Panggilan balik itu adalah untuk pengesahan identiti Haji Nabil bagi arahan pemindahan telegraf yang dibuat secara dalam talian untuk dua pemindahan yang berjumlah $45,000 ke dalam akaun Haji Nabil di London pada 15 Jun 2014 dan satu lagi pada 1 September 2014.
Perbicaraan akan disambung lagi esok, 1 Oktober 2019.
Pihak pendakwaan diketuai QC Jonathan Caplan bersama barisan timbalan-timbalan pendakwa raya yang terdiri daripada Hajah Suhana binti Sudin, Hajah Suriana binti Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff dan Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman. Tertuduh diwakili QC Simon Farrell dan Sheikh Noordin bin Sheikh Mohammad.