Friday, April 25, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buktikan anak jati mampu miliki hotel

    LUMUT – Daripada sebuah tapak perkhemahan yang disewa oleh anak nelayan kelahiran Pulau Pangkor ini selama lebih dua dekad sejak 1992, kini megah berdiri sebuah resort bertaraf tiga bintang di situ.

    Menjadi lambang kebanggaan anak tempatan Malaysia, Mohd Zamzuri Suid yang melihat semula pencapaiannya, tidak pernah lupa jerih perih yang dilalui olehnya dan adik-beradik dalam mengembangkan perniagaan mereka sehingga berjaya memiliki Pangkor Beach Village Resort di pulau peranginan itu.

    “Untuk membeli tapak ini, kami adik-beradik terpaksa meminjam wang daripada kaum keluarga terdekat dengan ada daripada mereka yang menggadai barang kemas,” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Pangkor Village Beach Resort itu ketika ditemui Bernama di sini.

    Mengimbas semula sejarah resort itu satu-satunya resort bertaraf tiga bintang milik anak jati Pangkor – usahawan berusia 55 tahun ini berkata mereka pada awalnya menyewa lokasi tersebut daripada Majlis Perbandaran Manjung dan dijadikan tapak perkhemahan.

    “Kami usahakan untuk membeli lot tersebut dan berjaya berbuat demikian pada 2012. Untuk memiliki tapak ini kami perlu membayar premium berjumlah RM250,000 namun simpanan kami tidak mencukupi, menyebabkan kami terpaksa meminta bantuan saudara mara terdekat,” katanya.

    Permandangan Pangkor Beach Village Resort yang dirakam ketika kunjungan Bernama di resort tersebut baru-baru ini. – Bernama
    Mohd Zamzuri Suid (kiri) bergambar bersama para kakitangan ketika ditemui Bernama. – Bernama
    Petugas Pangkor Beach Village Resort mengemas bilik hotel. – Bernama
    Pelanggan yang mengunjungi Pangkor Beach Village Resort melakukan urusan daftar masuk ketika di resort tersebut. – Bernama

    Pun begitu, katanya pembinaan resort itu hanya bermula pada pertengahan 2017 kerana kekangan kewangan.

    “Kami perlukan RM6 juta untuk membina resort ini. Namun, alhamdulillah, rezeki kami apabila Perak Corporation Berhad (PCB), iaitu syarikat berkaitan kerajaan negeri, membantu dalam memudahkan urusan pembiayaan kami menerusi sebuah bank.

    “Kami juga banyak dibantu oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mahu melihat anak jati Pangkor berjaya dalam bidang lain dan tidak bergantung pada hasil laut semata-mata,” kata anak kelima daripada 11 beradik itu.

    Pembinaan resort siap sepenuhnya kira-kira empat tahun kemudian ketika dunia dan negara sedang “bertarung” dengan pandemik COVID-19, sekali gus menghalang resort itu daripada beroperasi.

    Reda dengan situasi, beliau berkata mereka menunggu selama dua tahun sebelum resort dengan 75 bilik itu akhirnya beroperasi secara rasmi pada 2023 dan menerima penarafan tiga bintang daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 31 Mei 2024.

    Mohd Zamzuri yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor, berkata selain PCB, Majlis Amanah Rakyat juga antara pihak yang banyak menghulur sumbangan, terutama dalam bentuk kewangan dan latihan kepada kakitangan, bagi memastikan resort itu beroperasi mengikut standard ditetapkan.

    Berkongsi harapan, beliau impikan pencapaiannya adik-beradik dicontohi oleh anak watan Pangkor yang lain termasuk tidak cepat mengalah apabila berdepan cabaran.

    “Saya juga harap legasi ini akan diteruskan oleh anak-anak kami di masa akan datang supaya kekal menjadi antara mercu tanda yang membuktikan bahawa anak jati Pangkor boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penggiat industri perhotelan di negara ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda