Monday, April 28, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buktikan orang kita boleh

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Tiga orang pendaki tempatan yang berjaya mendaki Kem Pangkalan Everest pada 23 Februari lalu telah selamat pulang ke tanah air, petang tadi.

    Pengiran Nor Ikhsan binti Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh, Pengiran Khasiem bin Pengiran Hassan dan Awang Jasmein bin Haji Mohd Said berjaya menjelajahi Kem Pangkalan Everest bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun.

    Kepulangan tiga rakan berkenaan telah disambut meriah oleh keluarga dan sahabat handai bagi meraikan kejayaan mereka menjelajahi kem pangkalan tersebut yang bermula 6 Februari lalu.

    Pengiran Nor Ikhsan ketika ditemu bual berkata, pelbagai pengalaman dan kisah yang dihadapi bagi mencapai misi mereka.

    Namun begitu, ujarnya, perasaan terharu dan gembira serta syukur yang tidak terhingga atas pencapaian yang dilaksanakan itu menutupi segala pengalaman pahit yang dilalui ketika mengharungi liku-liku untuk meletakkan bendera Negara Brunei Darussalam di tapak kem pangkalan berkenaan pada 23 Februari 2013.

    Pengiran Nor Ikhsan, Pengiran Khasiem dan Awang Jasmein selamat pulang ke tanah air selepas berjaya menjelajahi Kem Pangkalan Everest sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.
    Pengiran Nor Ikhsan, Pengiran Khasiem dan Awang Jasmein selamat pulang ke tanah air selepas berjaya menjelajahi Kem Pangkalan Everest sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.

    Menurutnya, antara tujuan misi berkenaan adalah untuk membuktikan kepada warganegara Brunei Darussalam bahawa mereka boleh mencapainya dengan hati yang kuat dan cekal diikuti dengan doa daripada semua keluarga, rakan dan orang ramai di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau yang berusia di awal 50an itu juga ingin memberikan motivasi dan inspirasi kepada para belia bahawa beliau seorang wanita yang kini mempunyai dua orang cucu juga boleh mendaki kem pangkalan berkenaan yang mempunyai ketinggian 5,364m dari dasar laut.

    “Saya dan rakan-rakan berharap akan lebih banyak penglibatan orang Brunei untuk membawa nama negara ke dunia luar dan seterusnya akan meneruskan misi untuk mendaki gunung seterusnya pada tahun hadapan,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda