Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Buku As-Siyasah Asy-Syar’iyyah yang memuatkan 55 fatwa Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned telah dilancarkan hari ini pada majlis yang berlangsung di Ruang Legar Darulifta’, Jabatan Mufti Kerajaan, di sini.
Pelancaran buku tersebut disempurnakan sendiri oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz yang seterusnya menyerahkan buku wakaf kepada wakil-wakil perpustakaan awam dan perpustakaan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman semasa menyampaikan ucapan di majlis itu menjelaskan, mufti dan Jabatan Mufti Kerajaan sebagai sebuah institusi fatwa berperanan dalam menentu atau menetapkan hukum Islam sebagai panduan hidup umat Islam dengan matlamat berperanan mengeluarkan fatwa dan irsyad serta komited untuk menjadi pusat rujukan ilmu pengetahuan Islam yang lengkap.
Di samping itu juga berusaha mempelbagaikan usaha ke arah mencapai matlamat ini dan salah satu usaha tersebut dengan menerbitkan buku-buku dan setakat ini sebanyak 111 buah buku berjaya dihasilkan.
Beliau seterusnya menekankan, masyarakat umum perlu mengambil sikap lebih berhati-hati dan waspada terhadap bahan-bahan atau maklumat yang di sebarluaskan atau diperoleh dalam apa jua bentuk.



“Kebolehpercayaan dan kesahihan sesuatu maklumat atau bahan itu perlu diselidiki dan diperakui terlebih dulu sebelum ia boleh diguna pakai dengan membuat penelitian dan merujuk kepada pihak berkaitan dalam perkara ini,” tegasnya.
Katanya lagi, pengetahuan yang mantap, pemahaman dan penerangan yang jelas memainkan peranan bagi mengelakkan pelbagai andaian, pemikiran atau kekeliruan dalam menguna pakai atau merumuskan kesimpulan bagi satu persoalan.
Beliau seterusnya menambah, antara rangka kerja berterusan jabatan dalam usaha memberikan pencerahan dan perkongsian pengetahuan kepada masyarakat mengenai persoalan yang meliputi pelbagai bidang adalah inisiatif dan usaha menghimpun seterusnya diterbitkan sebagai sebuah buku.
Buku As-Siyasah Asy-Syar’iyyah ini, jelasnya, merupakan kompilasi atau himpunan fatwa yang berkaitan dengan pelbagai persoalan masyarakat Islam mengenai pengurusan, pentadbiran, perundangan dan yang seumpamanya dalam pelbagai aspek kehidupan dalam perspektif Islam.
Buku berkenaan dibahagikan kepada tujuh kategori untuk memudahkan pembaca dan pengkaji mencari jawapan bagi isu yang diinginkan dan perlu penjelasan mengenainya.
Buku tersebut mempunyai kategori pentadbiran, binaan, label, patung dan lambang disamping kategori pendidikan, negara dan perundangan, pertubuhan dan persatuan, tempat beribadat dan juga kategori restoran dan kedai makan.
Di samping itu, ia juga mempunyai 400 muka surat dan merupakan himpunan fatwa pilihan dari tahun 2004 hingga 2015 serta mengetengahkan perbincangan meluas yang membolehkan pembaca menimba ilmu pengetahuan dan maklumat bukan saja memberikan hukum kepada pertanyaan tapi memberikan dalil dari nash-nash Al-Quran dan hadis selain kaedah-keadah fiqh dan hujah ulaman hinggalah sesuatu hukum itu ditentukan.
Ia juga mengandungi pelbagai perkara mengenai pentadbiran dalam Islam yang perlu diketahui oleh masyarakat Islam kerana hukum Islam amat luas dan tidak terbatas pada amal ibadat seorang hamba kepada Allah S.W.T tapi meliputi seluruh aspek kehidupan manusia.
Buku AS-Siyasah Asy-Syariyyah merupakan bahan bacaan ilmiah yang tinggi nilainya dan ia juga dijual pada harga yang berpatutan.