BANDAR HO CHI MINH – Beratus-ratus buku bergambar baharu mengenai pelbagai topik oleh pengarang Vietnam dan antarabangsa telah diperkenalkan untuk menambah minat membaca kanak-kanak.
Pengarang muda, Huynh Trong Khang baru sahaja menerbitkan buku kanak-kanak terbaharunya bertajuk Khu Rung Trong Chai (Hutan dalam Botol) pada Pesta Buku untuk Kanak-kanak Bandar Ho Chi Minh ketiga yang diadakan awal bulan ini.
Buku setebal 60 halaman itu, diterbitkan oleh Phuong Nam Books, mempunyai lukisan yang menarik dan berwarna-warni oleh pelukis muda Nguyen Nhan, tetapi mengandungi mesej serius mengenai perlindungan alam sekitar.
Khu Rung Trong Chai mengisahkan seorang budak lelaki bernama An An yang diberi sebiji benih oleh penjual gula-gula. Dia menanam benih itu dalam botol. Benih itu kemudiannya tumbuh menjadi hutan.
Apabila masa berlalu, hutan itu hilang secara beransur-ansur, dan digantikan dengan bangunan pencakar langit dan pencemaran. Walau bagaimanapun, pada akhirnya, hutan itu masih kekal di sana.
“Buku itu memberikan pengajaran supaya menyayangi bumi kita dan melindungi alam sekitar untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa, selain menyeru mereka untuk bertindak untuk planet kita,” ujar Khang.
“Kanak-kanak boleh menanam benih mereka sendiri dan menjadikannya hutan kecil. Berjuta-juta hutan kecil bergabung membentuk hutan besar yang membantu menyelamatkan planet kita.”
Dilahirkan pada tahun 1994 di wilayah Delta Mekong An Giang, Khang terkenal dengan cerita pendek tentang kehidupan dan remaja seperti Mo Phan Tuoi Tre (Makam Remaja) dan Be Treng Coi (Bulan Kesepian).
Pada 2020, Khang bekerjasama dengan pengarang Chung Bao Ngan dan ilustrator Tran Quoc Anh untuk mengeluarkan buku dwibahasa Bo Khong Phai De An (Bo Bukan untuk Dimakan) dalam bahasa Vietnam dan Inggeris.
Buku yang diterbitkan oleh Rumah Penerbitan Wanita Vietnam ini mengandungi tiga cerita pendek tentang pengembaraan buah avokado bernama Bo untuk menemui dunia.
Khang berkata topik kegemarannya ialah falsafah, tetapi dia mahu mencabar dirinya sendiri. “Saya juga suka menulis untuk kanak-kanak dan memperkenalkan buku yang berkualiti kepada mereka,” katanya.
Buku puisi bergambar bertajuk Ba To La Runner (Ayah Saya Seorang Pelari) oleh pengarang Bui Phuong Tam diterbitkan oleh Kim Dong Publishing House dengan dua edisi dalam bahasa Vietnam dan Inggeris.
Buku itu membawakan kepada pembaca kanak-kanak kisah seorang bapa yang cuba mengimbangi antara minatnya dan keluarganya, dan memotivasikan anak-anak untuk mengejar impian dan hobi mereka sendiri dan membuat pilihan yang betul dalam hidup.
Buku setebal 48 halaman itu diilustrasikan oleh Jeet ZDung, pengarang dan ilustrator dua novel grafik dwibahasa kanak-kanak popular, Chang Hoang Da – Gau (Selamatkan Sorya: Chang dan Beruang Matahari) dan Chang Hoang Da – Voi (Selamatkan H’non: Chang dan Gajah).
Tam mula menulis untuk kanak-kanak sebagai seorang ibu. Buku bergambar pertamanya, This is Tet!, telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa dan telah menjadi buku kegemaran kanak-kanak Vietnam di banyak negara. Dia sedang melanjutkan jurusan dalam pendidikan awal kanak-kanak di Portland State University di Amerika Syarikat.
Ensiklopedia kanak-kanak
The Tre (Youth) Publishing House telah menerbitkan set kotak 20 judul edisi Vietnam daripada siri terkenal The Knowledge, Horrible Science, Horrible Geography dan Horrible History. Buku-buku ini ditulis dan diilustrasikan oleh Kjartan Poskitt, Hans Magnus Enzensberger, Anita Ganeri, Terry Deary, Martin Oliver dan Nick Arnold.
Karya berkenaan terdiri daripada cerita lucu dan ilustrasi yang membantu kanak-kanak memupuk minat dan pengetahuan mereka tentang sains, sejarah dan geografi.
Menurut penerbit, set kotak itu sesuai untuk kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke atas, malah juga untuk orang dewasa yang ingin menimba lebih banyak ilmu pengetahuan.
Syarikat penerbitan itu turut memperkenalkan satu set 16 buku komik berwarna bertajuk Lich Su Viet Nam (Sejarah Vietnam).
Setiap buku menceritakan kisah kehidupan dan kerjaya wira Vietnam seperti Trung Sisters dan Tran Hung Dao, serta peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam negara. – ANN/Vietnam News