Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buku-buku lama penuhi perpustakaan unik di Turki

    ANKARA – Ramai di antara kita mungkin tidak akan menyimpan barang-barang lama – membuang buku-buku ke dalam tong sampah – apabila membersihkan rak-rak mereka.

    Walau bagaimanapun, di Ankara, ibu kota Turki, buku-buku yang tidak digunakan lagi, tidak semestinya berakhir di tempat pembuangan sampah atau dikitar semula.

    Sebaliknya, ia diberi nafas baru dan disimpan di sebuah perpustakaan yang unik.

    Sekumpulan pengumpul sampah di bandar itu telah menubuhkan perpustakaan yang menyimpan ribuan karya seni, yang mungkin akan musnah ditelan oleh tapak pelupusan sampah.

    Buku-buku itu telah ditinggalkan di jalan-jalan kediaman bersama dengan sampah lainnya semasa ianya diangkut. Dari sana ia mencetuskan idea untuk mengitar semula buku-buku itu untuk pembaca baharunya.

    Perpustakaan yang unik ini adalah rumah kepada sebuah kilang bata terbiar di daerah Cankaya, Ankara. – AFP
    Pengumpul-pengumpul sampah di salah sebuah daerah di bandar Turki, Ankara, telah membuka sebuah perpustakaan yang menempatkan ribuan buku yang telah dibuang ke sampah. – AFP

    Ianya dibuka lebih dari tujuh bulan yang lalu oleh salah seorang pengumpul sampah daerah dan pengurus mereka. Perpustakaan itu terletak di sebuah kilang bata yang kini telah menjadi tempat pangkalan buat pekerja-pekerja berkenaan.

    Kilang tersebut telah ditinggalkan kosong selama 20 tahun yang lalu dan ruangnya kini telah dipenuhi dengan kakitangannya yang telah menghabiskan masa rehat mereka dengan membaca buku-buku yang telah disusun rapi di rak berkenaan. Ia telah menyimpan kira-kira 4,750 buku.

    Pada mulanya, ia dibukakan untuk pekerja pengangkut sampah dan keluarga-keluarga mereka dengan tempoh peminjaman buku-buku tersebut adalah 15 hari. Namun kini ia telah dibukakan kepada orang ramai, kata Emirali Urtekin, pengurus laman web, yang pejabatnya dilengkapi dengan barang-barang yang berjaya diselamatkan seperti majalah-majalah dan mesin taip.

    Terdapat lebih kurang 1,500 lagi buku yang akan diletakkan di rak-rak di sana – hasil dikutip dari sampah – dan kini ramai yang telah mendermakannya ke perpustakaan ini, tambahnya. Tiada buku yang akan dibuang.

    Bangunan yang telah diubahsuai itu – di mana paip tembaga boleh dijadikan sebagai lampu – juga menjadi rumah kepada kedai gunting rambut, kafeteria, kawasan sosial dan pejabat-pejabat kakitangan pentadbiran.

    Buku-buku tersebut telah disusun kepada 17 kategori setakat ini, mulai buku novel romantik, buku teks ekonomi, buku-buku seram dan fiksyen kanak-kanak.

    Perpustakaan ini menawarkan pelbagai karya daripada pengarang terkemuka antarabangsa dan Turki, temasuklah JK Rowling, Charles Dickens, JRR Tolkien, Orhan Pamuk dan pengarang ‘Fifty Shades of Grey’, EL James.

    Ia boleh diakses 24 jam sehari untuk para pekerja sampah dan mempunyai pustakawannya sendiri, yang dibayar oleh agensi perbandaran: Eray Yilmaz, 20 tahun.

    Sehingga kini Yilmaz berkata sejumlah 147 buah buku telah dipinjam dari perpustakaan tersebut, yang mana ahli-ahlinya juga termasuk 700 orang pengumpul di daerah Cankaya.

    Menurut agensi perbandaran itu, perkhidmatan baru tersebut adalah satu-satunya perpustakaan yang terdapat di daerah itu yang dibukakan kepada orang ramai.

    “Membaca buku dapat mengembangkan kepintaran seseorang, merangsang idea-idea baru… dan di sini kita memperkenalkan idea-idea baru dari buku kepada orang ramai,” kata Yilmaz.

    “Ini adalah sesuatu yang dapat membuatkan seseorang itu lebih gembira. Saya juga meminjam buku-buku ini untuk ibu saya.”

    Sebanyak 4,750 buku kini disimpan di rak-rak buku perpustakaan tersebut. – AFP

    Malik Ercan, salah seorang daripada beberapa anggota kakitangan kurang upaya, berkata dia telah meminjam dan membawa buku-buku tersebut ke rumahnya untuk dikongsi bersama dengan isteri dan anaknya.

    Perpustakaan itu telah menarik pelawat-pelawat dari luar bandar.

    “Baru-baru ini saya telah membawa saudara-saudara saya dari (wilayah tengah Turki) Sivas ke perpustakaan itu. Mereka pernah mendengar tentangnya di laman berita. Jadi mereka mahu menyaksikannya sendiri.

    “Ramai rakan-rakan saya menelefon saya dan mengatakan bahawa mereka mahu melawat dan menyaksikannya selepas melihat laman berita itu, ‘Benarkan kami untuk menyaksikannya…ia sangat unik’, kata mereka,” tambah Ercan, yang telah bekerja untuk perbandaran itu selama dua setengah tahun.

    Perpustakaan ini telah menerima banyak perhatian dari tempatan mahupun antarabangsa, yang membawa kepada ketibaan lebih banyak buku-buku, bukan sahaja dari tong sampah.

    Pelawat-pelawat dari bandar Turki lain kini sanggup membayar kos penghantaran buku-buku ke perpustakaan tersebut, kata Urtekin sambil menolak permintaan pengumpul – yang telah mengumpulkan buku-buku yang tidak digunakan atau dibaca lagi.

    “Kami menerima banyak lawatan daripada orang ramai dan juga sumbangan. Mereka berkata: ‘Ini adalah sebuah projek yang baik, kami mahu menyokongnya juga,” kata Urtekin.

    “Kami telah memberikan kehidupan baru buat buku-buku yang telah dibuang… dan buku-buku itu boleh didapati secara percuma.”

    Walaupun tidak ada rancangan untuk memperluaskan ruang semasanya itu, perpustakaan tersebut telah mencetuskan projek-projek lanjutan bagi buku-buku yang telah dibuang.

    Pengurusnya memberitahu AFP bahawa pada tahun ini mereka akan membuat perpustakaan mudah alih dan melawat beberapa sekolah Ankara setiap 15 hari supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat akses.

    Ia akan memberi perkhidmatan untuk sekolah-sekolah yang tidak mempunyai perpustakaan atau hanya mempunyai buku yang terhad di rak-rak mereka.

    Pelajar-pelajar itu juga dihiburkan oleh ‘Tin Group’ – terdiri daripada 11 orang pekerja sampah – semasa lawatan tersebut.

    Kumpulan itu bermula ketika perpustakaan itu dibuka, kata Urtekin.

    “Kami sangat gembira,” kata pengurus itu. “Ia memberikan kami identiti yang berbeza.”– AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda