Oleh Mu’min Karim
Gambar oleh Lyna Mohamad
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kedutaan Besar Kemboja di Brunei Darussalam telah melancarkan sebuah buku kebudayaan bertajuk Prince Thong and the Naga Princess pada majlis yang berlangsung di kedutaan tersebut, hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Hok Sophea.
Acara yang dianjurkan bersama Persatuan Membaca dan Literasi (ReLA) itu menandakan pelancaran keenam Cultural Stories from Around the World Volume I dengan tujuan mengeratkan lagi hubungan yang lebih erat antara kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam dengan Kemboja melalui pertukaran dan penceritaan semula cerita-cerita kebudayaan.
TYT Hok Sophea dalam ucapannya mengongsikan bahawa Kemboja kaya dengan cerita-cerita untuk kanak-kanak, namun untuk menarik lebih minat dan keterujaan dalam kalangan kanak-kanak dan memandangkan Kemboja merupakan salah sebuah negara anggota ASEAN, pengetahuan dan kefahaman kanak-kanak di negara ini mengenai Kemboja adalah penting.
“Saya melahirkan harapan agar isi kandungan buku ini mampu mengukuhkan dan mempertingkatkan lagi ikatan persahabatan sentimental antara kanak-kanak di negara ini dengan Kemboja,” tambah Tuan Yang Terutama.
Sementara itu, Presiden ReLA, Dr Malai Zeiti binti Abdul Hamid dalam ucapannya melahirkan perasaan gembira untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin menerusi perkongsian budaya.
Buku tersebut diceritakan semula oleh penulis-penulis termasuk TYT Hok Sophea, Dr Malai Zeiti dan Ketua Pegawai Eksekutif ReLA, Dato Paduka Dr Haji Abdul Latif dengan diilustrasikan oleh Sophie Sitai Kehoe yang dipilih oleh kedutaan tersebut dengan harapan berkongsi pengetahuan am cerita-cerita popular di Kemboja.
Majlis diteruskan dengan penandatanganan buku bersama penulis-penulis dan pengilustrasi yang disaksikan oleh kakitangan Kedutaan Kemboja dan ReLA.
Acara diakhiri dengan pembacaan buku cerita kebudayaan Kemboja oleh kanak-kanak daripada ReLA.