Thursday, December 5, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buku komik detektif dedah sejarah Belgium

    BRUSSELS, 8 NOV – Dengan bantuan detektif berambut merah, sebuah buku komik dengan siri terbaharunya diterbitkan di Belgium hari ini, bertujuan mendedahkan aspek sejarah negara itu yang kurang diketahui ramai.

    Dilancarkan sejak 2018, siri komik itu merupakan hasil karya ahli sejarah, Patrick Weber dan pelukis kartun, Baudouin Deville, yang menggabungkan misteri fiksyen berlatarkan peristiwa bersejarah penting bagi gambaran sejarah moden Belgium.

    Edisi terkini bertajuk Maison du peuple 65 menyingkap kisah perobohan bangunan di Brussels pada tahun 1965 yang direka oleh arkitek terkenal Art Nouveau, Victor Horta.

    “Ideanya bertujuan mengimbau kembali memori lama, menghidupkan semula tempat-tempat di Brussels yang mungkin sudah lenyap dari landskap, namun tetap kekal dalam ingatan masyarakat,” jelas Weber.

    Watak utama komik ini, seorang wartawan bernama Kathleen, ditugaskan menyiasat kes pembunuhan seorang lelaki yang menentang perobohan bangunan bersejarah tersebut.

    Bangunan Maison du peuple, yang pernah menjadi ibu pejabat Parti Buruh Belgium, dibina oleh Horta antara tahun 1896 hingga 1898 dengan reka bentuk lengkungan yang unik.

    Bangunan bersejarah itu telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada bangunan pencakar langit konkrit setinggi 26 tingkat, selari dengan pembangunan Brussels sebagai ibu kota Kesatuan Eropah ketika itu.

    “Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang karya seni bina yang luar biasa ini daripada dirobohkan,” kata ketua penerbit komik Anspach, Nicolas Anspach. – AFP

    Gambar Nerdy Ninja Platypus
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda