KOTA KINABALU, 3 Nov – Pelaksanaan Buku Log Pemandu Bas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan mampu meningkatkan lagi standard keselamatan dan prosedur pengusaha serta pemandu bas ekspres di Sabah yang mendapat kelulusan beroperasi di luar negeri menerusi platform BIMB-EAGA.
Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Bobbey Suan berkata pelaksanaan buku log itu juga merupakan satu daripada inisiatif di peringkat serantau bertujuan merekodkan perjalanan keluar masuk bas ekspres dalam memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus menjamin keselamatan penumpang.
“Saya berharap dengan mewajibkan penggunaan buku log pemandu bas BIMP-EAGA ini akan dapat membantu dalam memantau operasi bas ekspres Sabah di kawasan BIMP-EAGA.
“Pengusaha dan pemandu bas di bawah BIMP-EAGA ini merupakan duta kecil Sabah dan Malaysia, justeru, mereka seharusnya menjaga imej serta nama baik negeri dan negara apabila berada di luar negeri,” katanya ketika melancarkan Buku Log Pemandu Bas BIMP-EAGA di sini hari ini.
Buku Log Pemandu Bas BIMP-EAGA adalah mekanisme kawalan kepada pelesen bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang, memelihara keselamatan penumpang dan pemandu bas ekspres selain menerapkan disiplin pengusaha dan pemandu bas dalam pematuhan undang-undang. Pelaksanaan buku log itu juga untuk memastikan fizikal dan mental pemandu bas ekspres sentiasa mantap semasa memandu dengan membuat pertukaran pemandu setiap empat jam tempoh perjalanan tanpa henti atau perjalanan mencapai lebih 300 kilometer.
Setakat ini, terdapat dua syarikat mendapat kemudahan lesen beroperasi sebagai bas ekspres di bawah platform BIMP-EAGA di Sabah dan dibenarkan melalui Sarawak serta Negara Brunei Darussalam.
Beliau berkata keterlibatan Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak dalam pentas BIMP-EAGA merupakan satu peluang bagi kedua-dua negeri untuk bersama-sama memastikan pembangunan ekonomi dan keselamatan rakyat terjamin.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Raime Unggi berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha murni BlMP-EAGA menerusi kluster pengangkutan, dan berharap perkara melibatkan pengangkutan awam yang merentas sempadan ke negara anggota mendapat jaminan keselamatan sepanjang beroperasi di negara tersebut.
“LPKP Sabah juga bersedia untuk memberikan bantuan terhadap kenderaan perdagangan yang memasuki negeri ini di bawah platform BlMP-EAGA yang sah,” katanya. – Bernama