Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai pembacaan Doa Qunut Nazilah bagi menghindari wabak COVID-19, Kementerian Hal Ehwal Ugama menyediakan buku panduan digital Doa Qunut Nazilah untuk diedarkan kepada orang ramai melalui media sosial.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskan, teks yang diedarkan berkenaan sebahagian besarnya adalah doa qunut biasa yang dibaca semasa sembahyang Fardu Subuh dengan sedikit tambahan yang berkaitan dengan wabak.
Semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Pehin menyeru selaku rakyat negara ini, sama-samalah menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan amalkan doa qunut berkenaan.
Menurut beliau, ia dibaca untuk menolak kecelakaan, bala bencana atau bahaya yang menimpa seperti ketakutan, kemarau, wabak penyakit dan selainnya.
Perkara ini, tambah beliau, pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.